Syabu 183kg bernilai RM6j dirampas - Utusan Malaysia

Syabu 183kg bernilai RM6j dirampas

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan dadah, bot dan kenderaan mewah yang dirampas daripada satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini. -Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas ekoran kejayaan polis Pulau Pinang menahan lima lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan dalam lima serbuan berasingan sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

Dalam operasi bermula Rabu hingga semalam itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 183.6 kilogram (kg) bernilai RM6.058 juta.

Kesemua suspek yang ditahan bekerja sebagai peniaga, buruh binaan serta penganggur berusia 21 hingga 45 tahun dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu.

Difahamkan, kesemua dadah tersebut diambil menggunakan jalan darat dari Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Indonesia menggunakan jalan laut dari Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan Polis Marin Wilayah Satu itu menahan suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing di AutoCity, Juru, kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu.

”Dalam serbuan ini, polis menemukan lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 183.6 kilogram yang disimpan di dalam kereta jenis Honda CRV yang dipandu suspek,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi tangkapan itu, polis berjaya mendapatkan maklumat yang menjurus kepada penahanan suspek-suspek lain di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

”Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Bintang yang mana polis merampas wang tunai berjumlah RM500,000 serta menyita beberapa buah kenderaan mewah antaranya Porsche, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas enam suspek negatif dadah manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

”Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, selain tujuh buah kenderaan bernilai RM1.38 juta, turut disita dalam operasi tersebut sebuah bot fiber bersama dua buah enjin bernilai RM380,000.

”Bot itu dipercayai digunakan untuk membawa dadah ke negara jiran yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Dua nelayan warga asing turut ditahan dalam operasi ini dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah-dadah ini ke negara jiran dan mereka bergerak dari Kuala Juru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya