Suara wanita jadi pelengkap gerak kerja parti - Utusan Malaysia

Suara wanita jadi pelengkap gerak kerja parti

SHAHANIZA SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan wanita dalam UMNO terus diangkat dan menjadi pelengkap perjuangan parti dalam mengetengahkan agenda rakyat menerusi kehadiran baharu tiga ahli Majlis Tertinggi (MT) wanita.

Malah Ahli MT UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, peluang beliau bersama dua lagi rakannya secara tidak langsung telah membuktikan keterbukaan parti untuk menerima golongan wanita dalam meneruskan gerak kerja.

Justeru katanya, beliau akan membawa beberapa cadangan dan idea dalam mesyuarat akan datang dengan keizinan barisan kepimpinan parti.

“Sekolah politik memang menjadi cita-cita saya dan saya akan membentangkan idea atau cadangan saya kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat MT yang pertama saya hadiri nanti.

“Saya memang mahu menubuhkan sekolah politik ini dan sekiranya tidak dapat menubuhkannya secara fizikal, saya meneruskan usaha itu dalam media sosial nanti, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Shahaniza, calon wanita lain yang membarisi ahli MKT bagi penggal 2023-2026 dua bekas Ketua Puteri UMNO iaitu Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Dalam pada itu Shahaniza berkata, beliau tidak menyangka terpilih dalam percubaan kali pertama bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026.

Sementara itu Zahida Zarik menegaskan, kemenangannya bukan untuk dibanggakan, namun satu kepercayaan serta amanah daripada ahli akar umbi dalam usaha mengukuh dan kembalikan sokongan rakyat.

Jelasnya, ujian penting bakal dihadapi kepimpinan UMNO termasuk dirinya adalah menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Terima kasih sekali lagi pasca pemilihan, mari kita sama-sama mara berjuang khasnya dalam pilihan raya dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.