IPOH: Status pendapatan yang diterima sebagai elaun dan bukannya gaji tetap menyebabkan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) sukar membuat pinjaman bank.
Seorang guru KAFA di Kuala Kangsar yang hanya mahu dikenali sebagai Amira berkata, elaun guru KAFA yang diterimanya berjumlah RM1,200 sebulan iaitu elaun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebanyak RM1,000 dan RM200 elaun daripada kerajaan negeri.
Katanya, sejak mula berkhidmat pada tahun 2017, elaunnya yang ditolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sudah ada caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan elaun bersih hanya RM1,062.
“Pembayaran yang kami terima memang ada penyata bulanan tetapi apa yang kami terima adalah elaun, bukannya gaji. Sejak Disember 2018, pembayaran elaun guru KAFA menggunakan sistem payroll dan alhamdulillah elaun masuk tepat pada masanya.
“Berdasarkan elaun sedia ada sekarang, agak sukarlah bagi guru KAFA untuk membuat pinjaman rumah dan sebagainya.
“Kami berharap elaun itu ditukarkan kepada gaji supaya mudah membuat pinjaman rumah dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Amira, sebagai isteri, dia tiada keluhan yang besar dengan elaun kecil yang diterimanya kerana dia bukanlah ketua keluarga dan komitmennya tidak begitu besar.
Namun katanya, beban elaun kecil amat dirasai oleh guru lelaki terutama yang sudah berkeluarga.
“Apabila seseorang itu pekerjaan utamanya guru KAFA dan lelaki, mungkin akan ada keluhan dari sudut kos sara hidup, komitmen untuk keluarga.
“Kebiasaannya memang rata-rata guru KAFA lelaki akan buat kerja lain, kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN










