SPRM bebas siasat agensi penguat kuasa di bawah KDN  - Utusan Malaysia

SPRM bebas siasat agensi penguat kuasa di bawah KDN 

SPRM
SAIFUDDIN Nasution Ismail, menyampaikan replika sijil kewarganegaraan kepada salah seorang penerima dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas dan tiada halangan untuk menyiasat semua agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, jaminan itu adalah komitmen yang diberikan Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November tahun lalu.

“(Perdana Menteri) sejak hari pertama menggariskan tiga perkara utama yang perlu Kerajaan Perpaduan lakukan iaitu penstrukturan ekonomi, jaminan keadilan sosial dan tadbir urus kerajaan yang baik.

Good governance mestilah ada elemen untuk mengatasi rasuah di semua peringkat (kementerian, jabatan, agensi) dalam kerajaan termasuk KDN. Jika berlakunya rasuah dalam mana-mana agensi penguat kuasa dalam KDN, SPRM bebas untuk membuat siasatan tanpa sebarang halangan dan kacau ganggu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani bersama Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Utusan Malaysia pada semalam melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat memaklumkan kepada Ahli Parlimen beliau meminta Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun mengkaji cadangan itu supaya ada mekanisme untuk menyiasat kes salah laku pihak penguat kuasa.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya semalam yang mengatakan tahap korupsi di kalangan penguat kuasa semakin kronik.

Dalam pada itu, Saifuddin menggesa anggota rendah dalam agensi penguat kuasa dalam kementeriannya supaya tidak gentar membuat laporan kepada SPRM sekiranya mendapati ketua mereka melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang suruhanjaya berkenaan.

“Saya memberikan komitmen bahawa kita terbuka untuk mengatasi masalah rasuah sekiranya ia berlaku dalam KDN. Masyarakat juga dialu-alukan untuk membuat laporan kepada SPRM sekiranya mengesyaki ada anggota dalam agensi KDN yang melakukan kesalahan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.