PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan sebuah parti politik dijangka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana awam.
Memberitahu Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan, susulan penahanan itu, satu pertuduhan akan dilakukan terhadap pemimpin berkenaan.
Kata sumber itu, cadangan pertuduhan yang dibuat terhadap pemimpin itu dilakukan selepas disyaki terlibat dalam salah guna kuasa.
Jelas sumber itu, siasatan SPRM berhubung dana Jana Wibawa yang disiasat agensi itu mendapati terdapat arahan daripada pemimpin parti berkenaan kepada syarikat tertentu yang perlu membayar rasuah ke parti terlibat.
“Pertuduhan yang akan didakwa bergantung kepada keputusan yang diputuskan AGC,” katanya di sini.
Dalam pada itu, setakat petang semalam, para pemimpin kanan parti terlibat dipercayai telah berkumpul bagi membincangkan keadaan yang berlaku terhadap pemimpin tertinggi berkenaan.
Malah, Utusan Malaysia difahamkan, pemimpin kanan berkenaan juga telah memanggil pemimpin tertentu untuk mengadakan mesyuarat Biro Politik malam tadi.
Difahamkan, tindakan itu bagi membincangkan keadaan pemimpin kanan itu serta perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan parti terbabit yang bermula esok.
Selain itu, ucapan dasar presiden parti terlibat dijadual pada pukul 8 malam Sabtu.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, kertas siasatan akaun sebuah parti politik sudah berada di fasa terakhir untuk dilengkapkan dengan cadangan pertuduhan terhadap individu tertentu.
Siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu.
Isu penyelewengan dana kerajaan mula tercetus ketika PRU15 apabila parti-parti dalam gabungan tersebut didakwa berbelanja besar. – UTUSAN











