ISU drama dan filem tempatan stereotaip, menyajikan jalan cerita yang sama telah dibangkitkan sejak beberapa tahun dahulu. Acap kali ditegur dan diperkatakan oleh orang industri sendiri, ia ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Bukan tidak ada naskhah yang bersifat luar kotak atau luar zon selesa, tetapi masih terlalu kurang dan tenggelam dengan lambakan drama atau filem tangkap muat dengan jalan cerita yang serupa. Keadaan ini tidak sihat untuk industri drama dan perfileman.
Pelakon, Fazura antara yang terpanggil untuk mengulas tentang masalah ini. Ketika ditemui di Majlis Pelancaran Aidilfitri Fazura, pelakon cantik tersebut meluahkan rasa kecewa atas lambakan drama stereotaip yang ditayangkan di stesen televisyen (TV) tempatan.
“Sedih. Industri kita menghasilkan terlalu banyak naskhah dengan jalan cerita dan skrip yang berulang.
“Saya tak tahu bila keadaan ini nak berubah. Macam mana kita nak kembangkan minda penonton kalau yang disajikan kandungan sama, berulang kali.
“Sorry to say, itulah kebenarannya. Saya harap lebih ramai penerbit yang berani untuk keluar zon selesa, buat cerita berbeza untuk kembangkan minda penonton. Alihkan stigma dan tukar baharu,” luahnya.
Kata Fazura, masalah tersebut juga antara faktor yang mendorong dia jarang muncul dalam drama dan filem tempatan. Katanya, perkara itu membuatkan dia menjadi lebih selektif.
“Terus terang memang saya banyak terima tawaran berlakon, tetapi banyak juga yang terpaksa saya tolak kerana skrip yang sama.
“Keadaan ini sangat mengecewakan. Sebab itu anda melihat saya jarang berlakon pada masa sekarang,” jelasnya.
Kekecewaan tersebut membuatkan pelakon berusia 39 tahun ini membuatkan keputusan untuk menubuhkan Fazura Production House untuk memberi ruang dan peluang kepada dirinya untuk berkreativiti, menghasilkan naskah yang lebih bermutu dan berbeza.
“Langkah ini membolehkan saya hasilkan naskah drama atau filem yang saya mahukan tanpa perlu terikat dengan mana-mana syarikat produksi yang lain.
“Saya buat syarikat produksi sendiri untuk berikan kandungan yang seronok ditonton masyarakat,” jelasnya.
Beri peluang pelakon berbakat
Selaku pemilik syarikat produksi, Fazura menetapkan syarat untuk mengutamakan khidmat pelakon berbakat dan yang benar-benar komited untuk menggilap kebolehan.
Katanya, bukan mahu bersikap selektif, tetapi dia percaya ramai pelakon berbakat wajar diberi peluang untuk menyinar asalkan mereka sedia berusaha ke arah itu.
“Saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pelakon, lebih-lebih lagi bakat-bakat baharu.
Saya mahu bantu mereka kerana tak ramai yang dapat bimbingan yang betul untuk masuk ke dalam industri ini.
“Bagaimanapun, yang penting mereka sedia belajar, bukan sekadar tampil cantik atau kacak,” katanya.
Ujar Fazura lagi, dia juga sedia untuk berkolaborasi dengan rakan-rakan industri dalam membawa perubahan kepada industri drama dan filem tempatan menerusi penubuhan syarikat tersebut.
“Memanglah naskhah yang akan kami hasilkan nanti eksklusif, tetapi kami akan libatkan juga pelakon-pelakon lain yang juga rakan-rakan saya industri.
“Ini adalah keutamaan saya untuk projek-projek seterusnya yang akan datang,” jelasnya.