PETALING JAYA: Penganjur kempen mogok doktor kontrak menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan pada Isnin hingga Rabu ini kerana mereka berkemungkinan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Mereka mendakwa, ini kerana lebih 8,000 doktor kontrak akan mengadakan protes dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai.
“Ini sebagai protes untuk menentang sistem yang tidak adil dan gaji di paras rendah. Jadi jangkaan masa untuk orang awam menunggu mendapatkan rawatan dijangka mengambil masa lebih lama daripada biasa,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram akaun @mogokdoktormalaysia,
Tindakan tersebut dilihat akan melumpuhkan sistem kesihatan negara yang digunakan oleh kira-kira 80 peratus daripada sekitar 33.4 juta rakyat negara ini terutama golongan B40 yang jumlahnya mencecah 8.7 juta orang.
Ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja perubatan terutama doktor kontrak dilihat semakin keruh apabila tular sebuah surat yang memaparkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) enggan mempertimbangkan kadar bayaran bagi sistem ‘oncall’ sebanyak 50 peratus.
Sebelum ini JPA meminta Kementerian Kesihatan untuk meneliti semula keperluan dan kepentingan untuk meneruskan sistem tugas atas panggilan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyifatkan kempen mogok doktor kontrak itu bukan jalan penyelesaian terbaik dan mungkin menyebabkan perkhidmatan kesihatan negara terjejas.
Beliau berkata, perkara tersebut perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, persatuan tersebut tidak menyokong mogok sebagai satu cara untuk mendapatkan kerajaan menangani isu mereka namun dapat difahami mengapa laluan itu diambil kerana kerajaan dahulu dan sekarang tidak dapat menangani isu tersebut.
“Doktor kontrak berasakan mereka tidak ke mana dan sukar menjalankan tugas dengan perasaan tidak menentu ini. MMA juga sudah berjuang keras untuk menyelesaikan isu mereka dan kami bersetuju tiada progres yang memuaskan dalam isu jawatan tetap yang berlarutan selama bertahun-tahun ini.
“Jawatan tetap tidak mencukupi dan doktor kontrak bekerja lebih masa dan gaji masih rendah. Bagaimanapun, doktor-doktor ini diharap dapat menjalankan tugas mereka kerana dikatakan sebagai khidmat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN










