Sidang DUN Johor: Segera bantu mangsa banjir

Sidang DUN Johor: Segera bantu mangsa banjir

BANTUAN kepada mangsa-mangsa banjir perlu disegerakan khususnya kepada mangsa yang terjejas teruk termasuk di Sri Medan, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri digesa menyegerakan pemberian bantuan banjir, khususnya kepada mangsa yang terjejas teruk termasuk di Sri Medan, Batu Pahat.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, bah yang melanda tahun ini merupakan yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh hampir 40 tahun.

ZULKURNAIN KAMISAN

Menurutnya, banjir yang melanda sejak awal bulan ini menyebabkan kerosakan dan kemusnahan harta benda sehingga masih ada rumah serta kawasan pertanian dan ladang kelapa sawit ditenggelami banjir.

“Datanglah ke Sri Medan, anda akan menangis lihat kemusnahan luar biasa disebabkan bencana banjir kali ini. Di Jalan Parit Warijo sahaja, hampir 100 peratus rumah di kawasan itu tenggelam sepenuhnya.

“Sebelum ini, banjir hanya setakat paras lutut, tapi kali ini sampai tenggelam bumbung rumah. Banjir sebelum ini hanya lima kaki (0.91 meter) namun kali ini lebih lapan kaki (2.43 meter). Saya tak sanggup nak melihat keperitan yang lalui penduduk.

“Soal bantuan pasca banjir yang diumumkan kerajaan negeri dan Persekutuan macam mana yang dihebahkan, tolonglah segerakan. Saya dimaklumkan antara tiga hingga empat bulan baru dapat,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini.

Banjir yang berlaku sejak 1 Mac lalu menyebabkan lebih 85,000 penduduk terjejas, menjadikannya antara bencana terburuk pernah berlaku dengan Batu Pahat menjadi daerah pa­ling terjejas membabitkan kira-kira 50,000 mangsa.

Dalam pada itu, Zulkurnain turut menyeru lebih ramai pa­sukan sukarelawan dihantar ke daerah itu bagi membantu penduduk membersihkan kawasan penempatan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, emosi penduduk kini amat terkesan kerana kerugian yang dialami mereka cukup tinggi dan perlu bekerja keras untuk menggantikan keperluan harian.

“Ada yang bergelut nak hantar anak-anak yang nak masuk sekolah dan ke IPTA, ada yang nak menghadapi Ramadan dan kembali menjalankan perniagaan. Jika beginilah keadaannya, saya ingat Hari Raya tahun ni dah tak ada. Kita anggap raya tak ada dan tangguhkan tahun depan, cuma kita raikan kemenangan kitalah, itu saja, dah tak boleh buat apa dah,” katanya yang turut menjadi mangsa banjir berkenaan.

Zulkurnain turut menyeru supaya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sri Medan yang berulang-kali dibentangkan di DUN dilaksanakan segera.

Sementara itu, seramai 10,046 mangsa daripada 2,879 keluarga masih ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya