PETALING JAYA: Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad membawa sayap pergerakan wanita itu ke tahap yang lebih cemerlang selepas beliau tewas kepada Ahli Parlimen Parit Sulong itu pada pemilihan UMNO kali ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menzahirkan ucapan tahniah kepada Noraini dan barisan Ahli Jawatankuasa sayap setelah menang pada pemilihan UMNO sesi 2023-2026.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas kemenangan beliau dan mengekalkan jawatan selaku Ketua Wanita UMNO.
“Saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dengan harapan Datuk Seri Dr Noraini akan selepas ini membawa Wanita UMNO ke satu tahap yang lebih cemerlang.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Norliza Rahim yang telah berjaya mengekalkan jawatan beliau selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia dan juga kepada barisan Exco Wanita UMNO Malaysia.
“Terima kasih yang istimewa saya ucapkan kepada pencinta ‘Tudung Merah’ dan semua ‘Ibu Terbaik Bangsa’. Wanita UMNO menjadi sumber inspirasi saya sekian lama,” katanya dalam hantaran Faceboknya hari ini.
Shahrizat berkata, beliau tetap berasa bertuah selepas diberi peluang untuk meraikan demokrasi dalam UMNO.
“Saya menikmati setiap minit masa saya bersama Wanita UMNO dan berhubung semula dengan mereka dan ahli parti yang lain.
“Walaupun rezeki tak ada, tetapi saya pasti ada hikmah dengan keputusan ini. Amin,” ujarnya. – UTUSAN










