Seri Paduka zahir ucapan menyambut Ramadan - Utusan Malaysia

Seri Paduka zahir ucapan menyambut Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Bersempena ketibaan bulan Ramadan, Seri Paduka menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

Justeru titah Seri Paduka, perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan-amalan kebajikan serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

“Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang yang bertakwa di sisi Allah,” titah Seri Paduka seperti disiarkan di Facebook Istana Negara.

Titah Seri Paduka, syiar Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah)”.

Seri Paduka turut menasihati rakyat supaya dalam mengejar pahala adalah amat penting juga tidak mensia-siakannya dengan pembaziran makanan yang mana sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutamanya daripada ketika berbuka puasa.

Perkara ini titah Seri Paduka, bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir.

Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah menerusi ayat 27 surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Seri Paduka mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya