Sentimen parti tempatan lahirkan Gagasan Rakyat-Hajiji

Sentimen parti tempatan lahirkan Gagasan Rakyat-Hajiji

HAJIJI Noor (tengah) bersama barisan kepimpinan dan penyokong Gagasan Rakyat semasa pelancaran parti itu di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kegawatan politik yang berlaku di negeri ini mendorong kepada penubuhan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dilihat dapat memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan parti tempatan.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin parti baharu yang diterajuinya itu mempunyai kekuatan yang akan menyatupadukan dan membela nasib rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri. 

“Saya melihat dinamik politik memerlukan kita untuk berubah, kalau kita tidak berubah, kita akan rebah. Sekiranya kita tidak sensitif dengan mesej perubahan diinginkan oleh rakyat, kita akan direbahkan oleh rakyat.

“Parti Gagasan Rakyat yang dilancarkan ini adalah satu reaksi penting kepada dinamika landskap politik Sabah. Jika dilihat sejak 2018, ada status quo yang telah dicabar dan dirobohkan hingga wujud harapan baharu yang dimahukan di peringkat akar umbi.

“Maka, kita mendapat keyakinan bahawa bergerak atas landasan parti tempatan adalah langkah dan pilihan yang tepat,” katanya semasa majlis pelancaran Gagasan Rakyat  di sini semalam. 

Hajiji yang juga Ketua Menteri itu berkata, kerjasama dengan parti nasional juga tidak seharusnya ditolak kerana ekosistem federal dalam sebuah negara amat diperlukan.

Namun dari segi kerangka pentadbiran negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal. Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak diabaikan. 

“Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan (Sabah First) dan meletakkan kepentingan itu sebagai agenda nasional.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Gagasan Rakyat akan membantu memperkukuhkan lagi perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal yang menggunakan formula tempatan. 

Pengerusi GRS itu berkata, permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela di Malaysia.

Menurutnya, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri parti yang pelbagai dan bukannya bersifat parti tunggal. Jika ditinjau tiga kerajaan pertama di  Sabah adalah parti tempatan yang bersifat tunggal jadi, belajarlah dari sejarah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya