Selepas 2018, Halimah datang balik ke Malaysia secara rasmi

Selepas 2018, Halimah datang balik ke Malaysia secara rasmi

HALIMAH YACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kali terakhir pada 31 Disember 2017 lalu, Presiden Singapura, Halimah Yacob datang ke Malaysia secara tidak rasmi untuk menyambut Tahun Baharu 2018 di Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun pada kali ini, beliau akan tampil melakukan lawatan negara ke Malaysia secara rasmi selama tiga hari yang bermula hari ini sekali gus merupakan lawatan pertama ketua negara republik itu sejak kali terakhir pernah direkodkan Dr. Tony Tan Keng Yam pada 2013.

Ketika tahun berkenaan, pemimpin ketujuh itu bertemu Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kali ini pula, Halimah, 68, yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2017 lalu setelah empat tahun menjadi Speaker Parlimen, akan diiringi suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee yang turut disertai Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua Pendidikan dan Luar Negeri, Dr. Mohamad Maliki Osman serta Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perindustrian, Low Yen Ling.

Halimah bakal diberikan Sambutan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, Rabu ini disusuli Kunjungan Menghadap ke atas Seri Paduka Baginda seterusnya Majlis Santapan Negara bagi meraikannya dan ahli delegasi.

Selepas acara berkenaan, beliau akan menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.

Ini merupakan lawatan kali keempat oleh Presiden Singapura ke Malaysia yang bermula dengan Wee Kim Wee pada 1991, diikuti S.R. Nathan (2005) dan Tan Keng sedekad lalu.

Beliau yang menceburi politik Singapura pada 2001 dengan menjadi Ahli Parlimen di kawasan Jurong, pernah dilantik dalam pelbagai portfolio kementerian di republik itu.

Bahkan Halimah muncul sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan tertinggi negara itu dan individu Melayu kedua selepas Tun Yusof Ishak, presiden yang pertama pada 1965.

“Lawatan rasmi kali ini akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama antara dua negara berjiran dalam aneka bidang yang memberi banyak faedah,” jelas Wisma Putra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya