Selaras sijil tauliah penceramah mudahkan urusan dakwah - Utusan Malaysia

Selaras sijil tauliah penceramah mudahkan urusan dakwah

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cadangan supaya sijil pentauliahan penceramah agama diselaraskan di semua negeri dapat memudahkan urusan pengajaran dan ceramah agama Islam di seluruh negara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang baik untuk pengembangan urusan dakwah di negara ini.

”Ini satu cadangan yang baik, jika boleh dilaksanakan ia akan memudahkan urusan pengajaran dan ceramah agama Islam di seluruh negeri.

”Cuma perlu diambil kira hal-ehwal agama adalah terletak di bawah tanggungjawab negeri di mana Raja-raja menjadi ketua agama Islam bagi negeri masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pandangan penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani yang berpendapat bahawa sijil pentauliahan penceramah agama perlu
diselaraskan di semua negeri bagi mengelakkan timbul pertikaian pada masa hadapan.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong selepas dikatakan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Selain beliau, JAIS turut mengesahkan Ustaz Muhammad Wadi Annuar juga tiada tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

Menurut Wan Salim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya berperanan sebagai penyelaras daripada sudut pentadbiran termasuk aspek perjawatan bagi negeri-negeri.

Dalam pada itu, katanya, mengenai kebimbangan akan berlaku ‘gelombang’ bantahan yang berpunca daripada isu tauliah itu, beliau berkata, perkara tersebut hanya andaian semata-mata.

”Ini kerana mereka yang dilarang daripada mengajar dan berceramah hanyalah segelintir sahaja berbanding mereka yang diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah.

”Sebagai contoh, bagi Pulau Pinang sejak 2011 hingga 2022, terdapat seramai 1,711 orang asatizah dan agamawan yang telah diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.