Satu juta pokok ditanam di Terengganu - Utusan Malaysia

Satu juta pokok ditanam di Terengganu

AHMAD Samsuri Mokhtar (tiga, kiri) bergambar selepas majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu  berjaya menanam satu juta pokok di seluruh negeri melalui Program Penghijauan Malaysia sejak tahun lalu.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, kejayaan itu hasil kerjasama banyak pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang komited dalam program pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.

“Lebih istimewa, pokok yang kesejuta hari ini ditanam oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu.

“Pada tahun ini pula, kami menyasarkan untuk menanam 500,000 pokok dan akan berusaha untuk merealisasikannya sekaligus menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Antara spesies pokok hutan yang ditanam adalah merawan siput jantan, cengal, balau, keruing, meranti sarang punai, meranti tembaga dan kelat paya.

Selain itu, terdapat juga pokok buah-buahan seperti manggis, mata kucing, durian Belanda dan nona pada sepanjang kempen itu berlangsung.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun ini, sebanyak 3,000 pokok telah ditanam di sekitar Muzium Negeri melibatkan kawasan lima hektar bermula 18 Mac lalu.

“Ia adalah hasil kerjasama pegawai dan kakitangan Lembaga Muzium Negeri, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, pensyarah dan pelajar Politeknik Kuala Terengganu serta Pusat Giat Mara Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya