KUCHING: Sarawak kini bercadang untuk membina Pusat Perubahan Iklim bagi menyelia, mengurus dan mentadbir rangka kerja berkaitan perubahan iklim dan inisiatif carbon trading di negeri itu.
Premier Sarawak, Sri Abang Johari Tun Openg yakin dengan penubuhan pusat itu nanti ia mampu menarik minat pelaburan serta kebolehan negeri itu untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, sekaligus meletakkan Sarawak sebagai peneraju kepada inisiatif perubahan iklim di serata dunia.
“Pusat itu nanti berperanan menyelia dan mengurus semua perkembangan dalam perdagangan karbon (Carbon Trading), penyimpanan serta sektor-sektor lain dalam ekonomi agar usaha yang digunakan sejajar kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023, di Hotel Pullman di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Peguan Besar Negeri Sarawakn (SAGC) kini giat dalam usaha mempertingkatkan rangka kerja undang-undang terhadap badan antarabangsa dan pihak berkepentingan bagi menetapkan garis panduan serta peraturan yang komprehensif bagi memantau dan menyokong semua komponen berkait perkara terbabit.
“Kita perlu meningkatkan rangka kerja terutamanya undang-undang dan peraturan bagi perdagangan dan penyimpanan karbon.
“Dari situ, kita boleh mengembangkannya dan pada masa yang sama menjalinkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa agar kesemua data di pusat ini nanti akan membolehkan kita pantau dan rancang bagi tujuan perancangan di masa hadapan” ujar beliau.
Tambah Abang Johari lagi, pusat tersebut juga berperanan menyokong pembangunan dasar dan peraturan yang menggalakkan amalan mampan, termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, dan pengurusan perhutanan mampan.
“Kita (Sarawak) adalah yang pertama melaksanakan rangka kerja itu, kerana Sarawak telah meminda Kanun Tanah Negeri (NCR) yang membolehkan kita memulakan perdagangan dan penyimpanan karbon (Carbon Trading and Storage).
“Justeru itu, beberapa mekanisme kepada usaha ini giat kita laksanakan dan dalam proses perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pemain sektor karbon ini di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Abang Johari turut mendedahkan setakat ke hari ini, lima negara telah menunjukkan minat terhadap potensi tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Sarawak berikutan kedudukan strategik wilayah di luar lingkaran api, menjadikannya selamat dan sesuai untuk penyimpanan karbon.
“Malah kita turut yakin akan ada lagi yang berminat (pelabur) dan hari ini, kita ingin berkongsi dengan seluruh dunia melalui persidangan ini apa yang telah kita lakukan setakat ini, jika tidak mereka tidak akan tahu bahawa Sarawak telah memulakan aktiviti karbon.
“Justeru, kita memerlukan kepimpinan, kepakaran dan sumber yang asli untuk memastikan merealisasikan matlamat pelan karbon, dan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.-utusan
End.
160323-swk-premierCarbon-1: ABANG Johari (duduk tengah) ketika bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023, di Hotel Pullman Kuching, Sarawak hari ini.