Samsons satu jenama, tidak terikat dengan individu

Samsons satu jenama, tidak terikat dengan individu

samson
ARTIS berkumpulan Indonesia, Samsons bergambar selepas sidang akhbar sempena Konsert Samsons 20th Anniversary Live In Malaysia di Deep Blue Bar, The Face, baru-baru ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA dekad dalam industri seni suara bukan satu usia yang singkat untuk kita perkecilkan. Barisan lagu-lagu malar segar menjadikan jenama kumpulan Indonesia, Samsons ampuh di persada seni.

Tetapi sejak 2011, suara hadapan mula berganti-ganti. Lantas menimbulkan perbandingan dalam kalangan peminat terutama konsert mega sempena 20 tahun mereka dalam dunia seni April depan.

Apakah vokalis baharu, Adrian Martadinata mampu menjelmakan semula kenangan terindah peminat-peminat Samsons? Apakah ada yang merindukan suara vokalis lama, Bams yang sudah sebati di halwa telinga kita semua?

Tenang menjawab pertanyaan, bagi pemain gitar, Irfan, perbandingan itu pasti ada tetapi ada perkara yang lebih besar untuk mereka fokuskan. Samsons adalah satu jenama yang tidak hanya terikat dengan satu nama.

“Normal jika ada yang bandingkan yang lama dan baharu. Kami melihat Samsons sebagai satu jenama yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik berhati seni. Tidak hanya pada vokalis, gitaris atau pemain dramnya.

“Fokus kami adalah untuk ke hadapan. Memberi yang lebih baik kepada pendengar. Sebelum ini pun, kami bergabung dengan Aria Dinata (2011)  tetapi dia mengundurkan diri. Lantas, 2021 menjadi permulaan baharu kami dengan Adrian.

“Konsert ini juga menjadi platform untuk kami memperkenalkan Adrian. Dia seorang penyanyi yang bagus suaranya, vokalnya dan berdisiplin. Ini peluang terbaik untuk dia lebih dekat dengan peminat di Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.

Diaju apakah punca sebenar Bams memilih untuk keluar dari kumpulan tersebut, Irfan menjawab, arah tuju mereka dalam dunia seni sudah berbeza hala dan dia menghormati setiap keputusan yang diambil rakannya itu.

“Bams lebih kepada genre gospel (nyanyian keagamaan). Jadi apabila dia mahu mengundurkan diri daripada Samsons, kami terima. Bukan sebab masalah kesihatan seperti yang diperkatakan ramai.

“Kami masih bersahabat baik kerana keputusan itu tidak pernah dijadikan alasan permusuhan. Cuma bila genre dan objektif seni berbeza, lebih baik kita bergerak terus dalam haluan masing-masing,” ujarnya.

KONSERT 20 TAHUN

Ditanya tentang persiapan Samsons 20th Anniversary Live Concert yang bakal berlangsung 29 April depan, Irfan mengakui memilih lagu-lagu untuk dipersembahkan dalam konsert tersebut adalah perkara tersulit.

Malah kongsi Irfan, dalam konsert ini juga, mereka memberi fokus kepada susunan muzik, visual dan pencahayaan yang pastinya memberi pengalaman berbeza kepada setiap peminat yang hadir di Zepp KL untuk konsert itu.

“Persediaan ketika ini, ya baik-baik sahaja. Memilih lagu itu bukan mudah kan. Tetapi konsert ini bukan hanya untuk didengar tetapi dilihat dan dirasa. Kami mahu mencipta pengalaman berbeza.

“Ada beberapa lagu sudah ada dalam senarai tetapi harus diperhalusi bersama pengarah muzik. Lagu wajib seperti Kenangan Terindah, Luluh, Bukan Diriku dan Kisah Tak Sempurna itu past.

“Ada yang bertanya, mengapa selepas 20 tahun kami baru mengadakan konsert. Kami fikir ini masa yang sesuai. Kami lebih matang dan mampu memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan peminati,” katanya.

Konsert yang dianjurkan Ultimate Film Sdn Bhd ini juga menampilkan gitaris kedua, Erik Partogi Siagian dan pemain bass, Aldri Dataviadi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya