Saham bank, O&G bakal jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Saham bank, O&G bakal jadi tumpuan

SAHAM-saham bank global terjejas berikutan kebimbangan krisis kewangan Amerika Syarikat termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Krisis bank di Amerika Syarikat dan Switzerland telah menggegarkan pasaran saham global, termasuk Bursa Malaysia.

Bukan setakat pasaran saham dan kewangan, turut diheret sama ialah pasaran komoditi iaitu minyak mentah, dengan menyaksikan harga hadapan minyak mentah global jatuh ke paras terendah tahun ini dengan Brent di bawah AS$80 setong dan WTI lagi teruk di bawah AS$70 setong.

Mengikut laporan, penganalisis menjangkakan krisis boleh merebak sekiranya tiada langkah konkrit diambil oleh pihak penyelia kewangan di negara terbabit.

Jika berlaku, kesannya bakal lebih menyeluruh dan boleh mengheret kepada krisis ekonomi dan kewangan global.

Dalam konteks Malaysia, krisis yang berlaku adalah satu amaran kepada pihak penyelia iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan dalam negara.

Sebagaimana ditegaskan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia (UM) Dr. Mohd Zaidi Md Zabri berkata, bank-bank tempatan juga tidak dapat mengelak daripada turun naik dagangan akibat sentimen daripada apa yang berlaku di AS.

Turut menyuarakan kebimbangan ialah pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob yang menjelaskan, bank di negara ini juga terdedah dengan risiko kebankrapan jika tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi atau tidak menguruskan wang dengan baik.

Namun, BNM menegaskan, bank-bank tempatan mempunyai tahap permodalan yang kukuh dan penampan tunai yang teguh.

Mengambil kira tidak tahu bila krisis akan berakhir, maka pasaran saham dan kewangan bakal terus menjadi tumpuan pada minggu-minggu mendatang.

Dalam sesi dagangan minggu lalu, saham-saham melibatkan bank-bank tempatan mengalami kejatuhan teruk selepas Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,400 mata, paras terendah dalam tempoh lima bulan sejak Oktober 2022.

Antara saham bank yang mengalami kerugian teruk adalah Hong Leong Bank Bhd yang turun 27 sen kepada RM19.96, CIMB Group Holdings Bhd. (turun 16 sen kepada RM5.17), RHB Bank Bhd. (turun 14 sen kepada RM5.58) dan AMMB Holdings Bhd. (turun 14 sen kepada RM3.73) pada penutupan pukul 5 petang pada Selasa.

Saham-saham syarikat O&G seperti Petronas Dagangan dan Petronas Chemical turut mengalami kejatuhan besar. Semuanya disebabkan reaksi pelabur sebagai tindak balas kepada krisis yang berlaku. Sama ada pelabur telah kembali yakin, sama-sama kita nantikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya