Rumah pusaka dihuni nelayan terbakar waktu sahur

Rumah pusaka dihuni nelayan terbakar waktu sahur

MOHD. Yaki Mohamed Zain (kanan) sugul semasa menceritakan kejadian kebakaran rumahnya kepada Mohd. Huzaimy Che Husin (dua dari kiri) di Kampung Perupuk, Bachok, Kelantan, semalam. – FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang nelayan tidak sempat bersahur selepas rumah pusaka yang dihuninya di Kampung Perupuk di sini, terbakar awal pagi semalam.

Kejadian pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika mangsa Mohd. Yaki Mohamed Zain, 49, sedang tidur di dalam bilik sebelum dia dikejutkan dengan bahang panas yang keterlaluan.

Mohd. Yaki berkata, terkejut dengan kejadian itu terus menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu utama dan terkejut mendapati api sudah marak membakar bahagian ruang dapur rumah peninggalan arwah ibunya.

“Saya kemudian terus me­ngejutkan adik beradik dan jiran berdekatan untuk meminta bantuan. Namun apakan daya saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat menyelamatkan barangan lain kerana api marak dengan cepat.

“Memburukan lagi keadaan, kebakaran itu berlaku serentak dengan tiupan angin kuat dari pantai berdekatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd. Huzaimy Che Husin yang tampil menyampaikan sumbangan Ta­bung Serambi Mekah berjumlah RM2,000 di sini semalam.

Mohd. Yaki memberitahu, dua buah motosikal yang digunakan untuk berulang-alik dari rumah ke Pangkalan Petah di sini sebelum turun ke laut mencari rezeki turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Katanya, rumah papan berusia 50 tahun itu diserahkan kepadanya untuk diduduki kerana semua adik beradiknya sudah berkeluarga dan masing-masing memiliki kediaman sendiri.

“Buat sementara waktu, saya menumpang di rumah kakak (Norma Mohamed Zain, 61). Saya juga akan berusaha untuk membina semula rumah kecil di tapak yang sama bagi meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mem­bantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank kakak mangsa atas nama Zainura Mohamed Zain di 1530­83164905. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×