Razarudin disambung kontrak Timbalan Ketua Polis Negara

Razarudin disambung kontrak Timbalan Ketua Polis Negara

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Razarudin bin Husain @ Abd Rasid disambung kontrak sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini hingga 15 Mac 2025.

Beliau sepatutnya bersara wajib pada 14 Mac lalu selepas dilantik ke jawatan itu pada DIsember 2021.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan secara kontrak itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Razarudin, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Beliau yang dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor itu memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.

“Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997.

“Pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Saifuddin berkata, pada tahun 2000, Razarudin meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

Beliau kemudiannya ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Selepas itu, katanya, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ.

“Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

“Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman,” katanya.

Razarudin setelah itu dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 Jenayah Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

“Pada bulan September 2020, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan kemudiannya pada Disember 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya