Raih RM5,000 semusim tanam golden melon

Raih RM5,000 semusim tanam golden melon

ZURAINA SHAHARUDDIN dan suaminya, Abdul Rahim menunjukkan hasil golden melon yang diusahakan mereka di Kampung Sawah Datuk, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang wanita mampu meraih sehingga RM5,000 semusim bagi tanaman golden melon yang diusahakan di Kampung Sawah Datuk, di sini.

Zuraina Shaharuddin, 52, te­lah mengusahakan tanaman itu sejak penghujung Disember lalu melibatkan 500 pokok.

Sebelum ini dia menanam pokok cili sebelum bertukar kepada golden melon yang menggunakan sistem fertigasi dan dijual pada harga RM10 sekilogram.

“Sebelum ini banyak kerja yang saya pernah buat, mengajar tuisyen, mengajar mengaji, jual kuih namun dalam masa sama saya suka bercucuk tanam. Jadi, saya ada bertanam di tepi rumah secara sambilan.

“Kini bercucuk tanam telah menjadi kerja sepenuh masa saya lebih-lebih lagi selepas suami Abdul Rahim Ali, 52, bersara. Awalnya, kami tanam cili namun menanam cili agak cerewet kerana mudah kena serangga perosak selain penyakit banyak.

“Apabila tengok kawan ada buat (tanam) golden melon saya beli benih daripada dia, buat sikit-sikit tidak menjadi pula pada awalnya. Namun bila cuba buat secara serius, tambahan pula kami diberikan bantuan rumah perlindungan hujan, syukur golden melon menjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Projek tanaman golden me­lon itu diusahakan di tanah milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mersing yang disewa dan nyata tanaman itu lebih berbaloi kerana hanya mengambil masa antara 65 hingga 75 hari untuk matang, sekali gus pulangannya boleh diperoleh dengan cepat.

“Saya bercadang untuk mengembangkan lagi tanaman golden melon ini dengan sasaran sehingga 6,000 pokok serta menambah tanaman sayur-sayuran seperti terung, cili dan bendi kerana keluasan tanah yang ada di sini hampir satu hektar.

“Kami memang bercita-cita membangunkan kawasan ini secara intensif dengan tanaman sayur-sayuran menerusi kaedah pertanian tepat yang meng­aplikasikan sistem Internet of Things (IoT) serta peralatan automasi sepenuhnya.

“Dengan kaedah itu diharapkan dapat meningkatkan hasil sehingga menyamai keluaran hasil tanah lebih dua hektar. Kami juga berharap dapat menjadikan tapak pengeluaran sayuran yang diwujudkan ini bersifat kondusif dan berimpak tinggi, sekali gus tidak lagi bersifat 3D (dirty, dangerous, difficult) yang mampu menarik minat golongan muda masa kini,” katanya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN