PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dinasihat supaya belajar dan mendalami ilmu akidah serta perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.
Ia susulan kenyataan parti itu yang tidak bersetuju dengan peraturan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulufti Sharif berkata, sebagai seorang pemimpin, Syed Saddiq wajib mengajak umat Islam untuk beriman kepada Allah SWT.
“Jika seorang yang beragama Islam diberi jawatan pemimpin, wajib mengajak umat (Islam) untuk beriman kepada Allah, bukan sebaliknya kerana ia amanah yang dipegang.
“Ingatlah akhirat wahai saudara Islamku, ingat apa yang kita buat di dunia akan dihisab di akhirat. Dunia ini sementara, semoga hidayah milik orang-orang yang jahil lagi angkuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini tidak bersetuju dengan peraturan JAIS yang melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
MAIS hari ini dilaporkan berkata, program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor, dan menjadi kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Bagaimanapun, kata Syed Saddiq, program dan usaha untuk menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat harus disambut dengan baik oleh semua pihak.
Baru-baru ini, tular iklan dan risalah yang diedar melalui media sosial dan elektronik berkenaan program ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’ anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program itu menjemput para belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan termasuk acara di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang esok.
Dua program yang dijadual diadakan adalah ‘Jom Ziarah Gereja’ dan ‘Jom Ziarah Kuil Hindu’, masing-masing pada esok (18) dan 19 Mac ini.
Aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bersatu, Badrul Hisham Shaharin sebelum ini mendakwa, Impact Malaysia menjalankan program ‘Kristian Evangelis’ melalui Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Bagaimanapun, Impact Malaysia menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menganjurkan program “Kristian Evangelis”.
Naib Presiden (Strategi dan Pembangunan) Impact Malaysia, Mastura M. Rashid berkata, dakwaan itu tidak benar, sebaliknya, projek berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
Hannah Yeoh telah membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham atas dakwaan tersebut.
Menurutnya, sebagai ahli politik yang pernah bertugas sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selama lima tahun serta menjadi ADUN selama 10 tahun, beliau amat mengenali Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan.
Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu. – UTUSAN










