KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO perlu berubah seiring dinamik politik yang sering berubah pada setiap masa.
Calon Ketua Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan atau lebih dikenali sebagai Awin, justeru beliau mengambil keputusan bertanding untuk memimpin jawatan nombor satu sayap itu kerana mahu menambah baik peranan pergerakan penting UMNO itu.
Namun beliau menjelaskan, itu tidak bermakna kepimpinan lalu tidak baik, sebaliknya kehadirannya sebagai calon Ketua Puteri mahu sayap itu kembali mendapat tempat dalam kalangan hati anak muda.
“Politik ini setiap tahun berubah, malah politik negara kita kerap berubah dengan terlalu cepat, hari ini lain, minggu depan lain.
“Jadi Puteri yang ingin saya bawa perlu lebih dua langkah ke hadapan. Ini perubahan yang ingin saya bawa dalam Puteri,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Online baru-baru ini.
Nurul Hazwani kemudian bertekad untuk mengembalikan semula taring Puteri agar diyakini anak-anak muda menerusi agenda pemerkasaan parti.
Namun beliau menegaskan usaha itu tidak boleh terlalu perlahan, kerana tindakan demikian menyebabkan Puteri akan terus ketinggalan berbanding parti-parti lain.
“Kita harus melangkah iaitu laju dua kali langkah ke hadapan,” jelasnya.
Bagi memastikan Puteri terus bernafas segar, Nurul Hazwani menawarkan empat pendekatan yang dikenali ‘Strategi 4S’.
Katanya Strategi 4S yang bermaksud ‘Sinergi, Struktur, Simetri dan Stabil’ bagi mengukuhkan Pergerakan Puteri UMNO dalam arena politik negara.
“Kita tahu politik sentiasa berubah dan dinamik, kita perlukan perancangan yang teliti untuk menawarkan solusi kepada pergerakan Puteri dan UMNO,” ujar beliau.
Beliau berkata, penting untuk ahli puteri UMNO mengamalkan 4S yang akan diperkenalkan beliau kerana solusi kepada segala permasalahan Pergerakan Puteri UMNO dapat diperoleh melalui strategi itu.
Dalam pada itu, beliau menepis tanggapan UMNO semakin suram sedangkan ramai menawarkan diri sebagai kepimpinan parti termasuk pelbagai jawatan Puteri.
“Jika ramai kata Puteri UMNO suram, tidak mungkin enam calon menawarkan diri sebagai Ketua Puteri. Ramai calon menunjukkan Puteri UMNO masih di hati anak-anak muda,” ujarnya. – UTUSAN










