Pulau Pinang benar umat Islam lawat rumah ibadat lain tapi bersyarat - Utusan Malaysia

Pulau Pinang benar umat Islam lawat rumah ibadat lain tapi bersyarat

AHMAD ZAKIYUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Penganjuran program lawatan ke rumah ibadat lain oleh umat Islam di negeri ini hanya boleh dibenarkan atas alasan tertentu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ini termasuk untuk memahami aspek dalam ibadah bukan Islam bagi mengekalkan sifat toleransi antara agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Bagaimanapun, ia (lawatan itu) perlu dilakukan dalam satu kumpulan yang dianjurkan oleh pihak tertentu dan bukannya secara individu.

“Kalau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berkaitan perpaduan (atau kerja-kerja sosial) itu mungkin boleh dibenarkan.

“Tapi, seperti yang saya cakap. Dalam keadaan tertentu sahaja dan terkawal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung isu memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung kepada agama lain dengan mengadakan lawatan ke rumah-rumah ibadat tersebut.

Terdahulu, kerajaan Selangor dilaporkan melarang umat Islam di negeri itu untuk terlibat dalam mana-mana program keagamaan di rumah ibadat agama lain seperti digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memberitahu, Pulau Pinang mengambil pendekatan untuk mengikut enakmen serta akta-akta berkaitan yang sedia ada berhubung isu itu.

Dalam hal ini, beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tetap melarang pelanggaran mana-mana perkara seperti yang digariskan dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1993 iaitu larangan penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

“Tapi, bagi tujuan perpaduan, sekiranya ada pihak-pihak yang ingin membawa atau ingin menyediakan atau mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan tertentu, mungkin boleh dibenarkan (bersyarat),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.