Pukul pekerja restoran nasi kandar, dua lelaki mengaku tak bersalah

Pukul pekerja restoran nasi kandar, dua lelaki mengaku tak bersalah

M. Elangovan dan M. Vengateswaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pekerja restoran nasi kandar di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua lelaki yang videonya tular memaparkan mereka terlibat dalam insiden kekecohan di sebuah restoran nasi kandar dan memukul pekerja minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan, melakukan khianat dan mengeluarkan perkataan lucah.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, M. Elanggovan, 51, dan M. Vengateswaran, 51, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Elangovan yang bekerja sebagai pemandu van didakwa dengan empat pertuduhan, manakala Vengateswaran yang merupakan pemandu teksi berhadapan tiga pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan lucah dengan maksud mengganggu kesantunan terhadap Md. Jahirul Hoque dan Sarishkumar Jayakumar di sebuah restoran di Glomac, Cyberjaya dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam, pada 16 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Md. Jahirul Hoque di sebuah restoran pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan khianat iaitu membaling pinggan milik Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, Elanggovan turut didakwa dengan sengaja mencederakan Sarishkumar Jayakumar dengan menggunakan sebatang penyepit besi, justeru melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lingeswaran Andiappan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum.

Ayuni Izzaty kemudian membenarkan Elanggovan diikat jamin RM11,600 bagi keempat-empat pertuduhan sementara Vengateswaran yang berdepan tiga pertuduhan dibenar ikat jamin RM8,600 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan dokumen.

Selain itu, syarat tambah ditetapkan supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri di balai polis.

Pada Jumaat laly, tiga lelaki ditahan selepas dikesan memukul dua pekerja restoran nasi kandar di Cyberjaya yang video rakamannya tular di laman sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya