PRN: Sebulan tempoh rundingan kerusi antara PH, BN Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Sebulan tempoh rundingan kerusi antara PH, BN Pulau Pinang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mempunyai tempoh sebulan untuk memuktamadkan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, DAP negeri itu sudah menerima arahan daripada DAP Pusat semalam supaya rundingan itu diadakan dan akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat PH negeri terlebih dahulu sebelum pertemuan dengan BN diadakan.

“Kita menjangkakan proses rundingan bersama-sama BN ini akan berlangsung beberapa kali dalam tempoh sebulan ini sebelum keputusan muktamad dapat dicapai,” katanya dalam sidang akhbar pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri ditanya berhubung status rundingan bersama BN Pulau Pinang dalam persediaan menjelang PRN negeri itu tidak lama lagi memandangkan kedua-dua parti itu buat pertama kalinya akan bekerjasama di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, ditanya sama ada DAP Pulau Pinang sudah mempunyai senarai akhir calon yang akan bertanding pada PRN kelak, Kon Yeow berkata, proses tersebut akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita perlu tahu dulu berapa kerusi DUN yang kita dapat tandingi, selepas itu kita akan merujuk semula kepada PH Pusat untuk keputusan akhir,” katanya.

Ditanya sama ada DAP Pulau Pinang akan tetap dengan pendirian untuk bertanding 19 kerusi DUN sama seperti pilihan raya umum lalu, Kon Yeow mengulangi pendirian yang mana parti itu berharap untuk mengekalkan kemenangan di DUN sedia ada, malah mahu memenangi lebih banyak kerusi lain.

“Tetapi saya tidak tahu dan tidak pasti sama ada DAP akan dapat lebih kerusi untuk ditandingi nanti atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, rundingan menjelang PRN negeri kelak adalah dibuat atas dasar kerjasama antara PH dan BN, bukannya antara parti komponen tertentu seperti DAP atau MCA.

“Rangka kerjasama (antara PH dan BN) ini adalah unik dan sudah difahami dengan jelas antara kedua-dua parti.

“Sudah semestinya kedua-dua parti akan mempunyai wakil parti komponen masing-masing dalam proses rundingan yang akan diadakan kelak.

“Tetapi rangka kerjasama itu adalah tetap antara PH dan BN, bukannya antara (misalnya) DAP atau MCA,” katanya merujuk kepada soalan sama ada DAP bersedia untuk memberikan kerusi mereka kepada MCA atau MIC dalam PRN kelak. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.