PETALING JAYA: Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) diramal kurang memberangsangkan berbanding pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana prestasi PN menjelang PRN nanti dilihat tidak sebaik prestasi gabungan itu pada PRU15 yang berjaya mencipta kejutan di kebanyakan tempat.
“Cuma di pihak PN, mereka ada masalah beberapa pemimpin didakwa dengan yang didakwa itu pula bukan calang-calang orang.
“Pas pula terpalit. Pertamanya kerana berada dalam PN. Keduanya sebab ada petisyen pembatalan keputusan di Parlimen Marang, jadi kalau kemungkinan Tan Sri Abdul Hadi Awang hilang kerusi, ia sedikit sebanyak menjejaskan moral.
“Malah, video tular ‘sedekah’ sebelum ini menyebabkan beban kepada Pas, seolah-olah orang kata Pas pun rasuah juga.
“Jadi semua ini merencatkan. Apabila pemimpin mereka kena dakwa, akaun parti kena sekat, kita boleh lihat kempen mereka pun agak perlahan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kejayaan PN sebelum ini juga adalah disebabkan sokongan daripada pengundi muda yang masih tidak berpengetahuan luas mengenai politik.
“Jadi mereka mudah terpengaruh dengan media sosial, jadi apabila PN bertindak awal melalui aplikasi Tik Tok, sebab itu mereka mendahului sokongan pengundi muda.
“Tetapi saya fikir undi anak muda boleh beralih, dulu mereka mungkin tidak kenal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun sekarang sudah kenal,” katanya.
Beliau menambah, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kelebihan sebagai kerajaan pada PRN nanti.
Malah, katanya, undi kedua-dua gabungan itu jika digabungkan pada PRU15 melebihi undi yang diperoleh PN kerana PN menang sebelum ini disebabkan pecah undi.
“Selain itu, kita boleh lihat Anwar membuat reformasi, dalam beberapa bulan ada beberapa perkara meyakinkan, pelaburan asing masuk dan keyakinan antarabangsa.
“Seterusnya strategi mengekalkan bantuan rakyat berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, jadi mungkin orang muda yang dapat bantuan akan beralih kepada Anwar,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, sukar untuk meramalkan kecenderungan antara PN dengan PH dan BN pada PRN nanti melainkan ada satu kajian yang komprehensif.
Katanya, ini kerana PRN akan datang menyaksikan BN berkemungkinan besar akan bergabung dengan PH selepas terdapat rundingan dan pembahagian kerusi antara kedua gabungan itu seperti dilaporkan sebelum ini.
“Ia sekali gus menjadikan dua penjuru pada PRN nanti berbanding PRU15 lepas. Jadi apabila UMNO bergabung dengan PH, adakah itu akan meningkatkan momentum kerajaan perpaduan sekarang? Itu satu persoalan besar,” ujarnya. – UTUSAN










