PRN Kedah: PH-BN tahu kerusi kuat masing-masing

PRN Kedah: PH-BN tahu kerusi kuat masing-masing

ZAMRI YUSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah diyakini mampu dilaksanakan dengan baik selepas persefahaman secara tidak formal antara kedua-duanya sudah mula terbentuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, ketika ini pihaknya menunggu keputusan pembentangan berkaitan rundingan pembahagian kerusi oleh jawatankuasa di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan membabitkan PH dan BN pada 19 Mac depan.

Selepas itu katanya, kedua-dua pihak akan bergerak ke arah lebih rasmi untuk memastikan PH dan BN mampu meraih lebih banyak kerusi di negeri ini dalam PRN akan datang.

“Konsep pembahagian itu sebenarnya sudah ada kerana kita secara keseluruhan sudah mengetahui di mana lokasi yang menjadi kekuatan PH dan di mana kawasan dikuasai BN. Itu juga dibantu oleh lokasi yang dimenangi oleh kedua-dua gabungan dalam PRN sebelum ini.

“Berdasarkan konsep itu, mungkin kita sudah selesai hampir dua per tiga daripada pembahagian kerusi di Kedah. Cuma tinggal satu per tiga sahaja lagi dan itu bergantung kepada siapa yang kuat di situlah (mereka bertanding),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Jualan Rahmah Pra Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di Kompleks Belia Dan Sukan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah membuat ‘jangkaan’ kononnya PH dan BN akan bercerai menjelang pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN.

Mengulas lanjut Zamri berkata, bersandarkan persefahaman itu kedua-dua gabungan yang memiliki kerusi tidak akan bersifat kedekut, manakala pihak yang meminta pula tidak tamak.  

“Perkara sebegitu akan memudahkan rundingan. Di pihak kami, kami yakin BN juga memiliki kekuatan di Kedah dan mereka cuma ‘terkejut’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Setakat ini kami sudah bergerak bersama termasuk melibatkan 11 ADUN PH serta BN di Kedah. Kami selalu bincang bagaimana mahu memperkukuh kekuatan gabungan selain berusaha mengembalikan undi yang beralih kepada pihak lawan akibat pelbagai tohmahan terhadap kami dalam PRU lalu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.