Polis rampas dadah bernilai RM11.034 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah bernilai RM11.034 juta

Dadah
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan bungkusan mengandungi dadah yang berjaya dirampas polis, dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis heroin dan metamfetamin masing-masing seberat 17.6 dan 299 kilogram (kg) bernilai keseluruhan RM11.034 juta menerusi pembanterasan dua kumpulan sindiket pada 28 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menangkap dua lelaki tempatan sedang memindahkan dadah metamfetamin atau syabu dari sebuah Toyota Estima ke kereta Toyota Alphard dekat sebuah pangsapuri di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Pemeriksaan polis mendapati terdapat sembilan buah guni mengandungi 279 bungkusan bahan disyaki syabu seberat 295.5 kg. Susulan tangkapan itu, polis menemukan dan menangkap seorang warga tempatan dipercayai ahli sindiket itu di Shah Alam.

“Kesemua suspek yang ditahan berumur 35 hingga 52 tahun memiliki rekod jenayah. Dua daripada mereka memiliki lapan rekod seorang mempunyai empat rekod lampau,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sementara itu, tangkapan terhadap sindiket kedua pula dilakukan apabila pasukan sama dari ibu pejabat polis itu menahan seorang lelaki warga tempatan dekat tempat letak kereta tepi jalan di Pelabuhan Klang.

Menurut Hussein, polis memeriksa sebuah kereta Toyota Wish yang digunakan suspek berkenaan dan menemukan 28 ketulan disyaki dadah heroin seberat 12.6 kg dan satu bungkusan dipercayai syabu seberat 0.95 kg.

“Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke tempat letak kereta sebuah flat di Ampang, Selangor. Hasil pemeriksaan polis ke atas sebuah kereta Myvi di tempat letak kereta itu menemukan 11 lagi ketulan dadah disyaki heroin seberat 4.9 kg,” katanya.

Dalam operasi itu, polis turut menangkap dua lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai terbabit dalam sindiket tersebut di Klang dan Cyberjaya, Selangor serta Tanjung Malim, Perak.

Menurut Hussein, kesemua suspek berumur lingkungan 27 hingga 49 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.

“Dalam kedua-dua serbuan tersebut, selain rampasan dadah, polisturut menyita tiga buah kereta jenis Toyota Hilux, Perodua Myvi, Proton Saga dan juga 17 barangan kemas dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM191,080,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, kesemua suspek kini direman antara tiga hingga tujuh hari bermula 28 Mac lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya