Polis berkas empat ahli sindiket buru hidupan liar bernilai RM303,000 

Polis berkas empat ahli sindiket buru hidupan liar bernilai RM303,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket pemburuan haram hidupan liar di sekitar Gua Musang, Kelantan ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menahan empat individu, hujung bulan lalu.

Penahanan itu dilakukan Pasukan Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) yang melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) pada 23 Februari lalu selain merampas peralatan perburuan termasuk bangkai haiwan.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, risikan dan siasatan dilakukan pada awalnya menahan tiga lelaki berusia 34 tahun hingga 42 tahun.

Katanya, hasil penahanan itu turut merampas dua bahagian bangkai seekor harimau tanpa kepala dan kulit serta tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM303,000.

“Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 2 Mac lalu. Dua tertuduh mengaku salah dan dipenjara 10 bulan dan denda RM450,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

“Mereka gagal membayar denda dan dipenjara 22 bulan manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah diberi jamin RM30,000 dan sebutan semula kes pada 10 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan kesemua suspek itu, pasukan mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 65 tahun yang juga pemilik senapang berlesen digunakan untuk pemburuan haram.

Katanya, polis merampas selaras senapang jenis Benelli, beg senapang, 28 butir peluru 12 bore, alat pembuka barrel, alat barrel extender dan buku lesen memiliki senjata yang dianggarkan bernilai RM12,000.

Noorsiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) serta Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 (Akta 206).

“PDRM sentiasa komited memerangi jenayah berkaitan hidupan liar khususnya pemburuan haram dan mereka yang menjalankan perdagangan spesies dilindungi serta terancam.

“PDRM menyambut baik kerjasama semua pihak di bawah operasi bersepadu itu dan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat amat digalakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya