KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan inkues berhubung kes anggota polis berpangkat sarjan yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang menyediakan dokumen berkaitan kes berkenaan untuk permohonan berkenaan.
Katanya, dari sudut siasatan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Itu adalah insiden yang sangat mendukacitakan. Polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan menerima laporan patologi serta hasil bedah siasat.
“Kini, mereka sedang menyediakan dokumen sepatutnya untuk buat (mohon) inkues berhubung insiden itu bagi mengenal pasti apa punca kematian,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya dimaklumkan anggota berkenaan pernah menghadapi masalah keluarga.
“Bagaimanapun, atas sebab dan perkara yang tidak dapat dielakkan, insiden ini berlaku. Kita pun tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian.
“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pengendalian senjata, kita sudah ada (SOP) yang termaktub sekian lama dan dipatuhi sewajarnya.
“Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan. Bagaimanapun, ia tidak menghalang untuk kita mencari jalan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Mengulas mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan, katanya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mempunyai satu unit kaunselling yang akan memantau serta meneliti perkara itu.
Ujar beliau, pihaknya sentiasa memantau dan meneliti tahap kesihatan mental setiap pegawai serta anggota melalui laporan penyelia mereka.
Kelmarin, polis mengesahkan kematian anggota polis berpangkat Sarjan itu sebagai SDR.
Ketua Polis Pulau Pinang. Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan mengenai kejadian itu sudah selesai dan tiada unsur jenayah.
Sebelum ini, media melaporkan mendiang Sarjan Jana Milie, 51, yang ditemukan meninggal dunia di belakang balai berkenaan dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala selain sepucuk pistol ditemukan bersama mangsa dalam dalam kejadian pukul 3.30 petang pada 19 Februari lalu. – UTUSAN