PN jangan main politik sehingga malukan negara

PN jangan main politik sehingga malukan negara

ANWAR Ibrahim ketika mengadakan sesi pertemuan bersama kepala industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik di Arab Saudi, baru-baru ini. - FOTO/PEJABAT PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak kejayaan telah terhasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi berbanding isu remeh yang sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, isu lawatan digambarkan pembangkang sebagai membazir duit dan makan angin kerana mungkin perbezaan pandangan atau dendam politik apabila menyifatkannya sebagai gagal kerana tidak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammed Salman.

Beliau kemudian berkata, tiada hujah lain lebih substantif yang sengaja dimainkan PN berbanding hasil pertemuan berkenaan sedangkan banyak kejayaan telah dirintis dalam lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Arab Saudi.

Ujarnya, antara kejayaan tersebut pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.

“Mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana. Mengadakan pertemuan dengan OIC dan Liga Muslim Dunia di Makkah. Membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama. 

“Tidak berjaya lagikah lawatan Datuk Seri Anwar dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh tiga hari lawatannya ke Saudi? Jika tidak berjaya lagi, saya tidak tahulah apa ukuran kejayaannya daripada kaca mata pihak pembangkang.

“Adakah tidak berjaya hanya kerana tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman dan Putera Mahkota atau ada hujah lain yang lebih substantif?,” soal beliau hari ini.

Semalam, PN mempersoalkan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi kerana tiada satu pun laporan yang mengesahkan pertemuan di antara Anwar dan Perdana Menteri negara itu, Putera Mahkota Mohammed Salman.

Justeru Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri diminta untuk menjelaskan kegagalan lawatan ini di dalam Dewan Rakyat agar ahli-ahli Parlimen dapat merungkai dan menghuraikan dengan lebih lanjut supaya hubungan rapat dua hala kedua-dua negara akan terus dipertahankan. 

Mengulas lanjut, Mohammad Agus menegaskan, mereka boleh bertanya kepada Perdana Menteri ketika Sesi Soalan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat jika tidak berpuas hati dengan hasil dan kos lawatan itu.

“Setiap Selasa Perdana Menteri sedia menjawab. Jangan pula tidak datang masa itu. Dari situlah, baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri pernah menjelaskan pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungan Anwar diperpanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu memandangkan Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

Namun ujar beliau, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi kerana pada semalam beliau dan Kabinet ada majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, manakala 27 Mac mengadakwan lawatan sehari ke Kemboja dan 29 Mac lawatan ke China bagi bertemu dengan dua pemimpin besar China, Xi Jinping dan Li Qiang.

“Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah melibatkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa PM kita yang bekerja kuat untuk negara,” jelasnya.

Menjawab tuduhan kedua-dua pemimpin tidak suka Anwar,  Mohammad Agus menjelaskan, Raja Arab dan Putera Mahkota antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

“Jadi, apa masalahnya dengan lawatan PM ke Arab Saudi setelah tidak dapat berjumpa dengan pemimpin mereka? Masalahnya ialah pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan PM dan bermain politik. 

“Bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci. Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.