PN dakwa halang Sanusi tidak adil

PN dakwa halang Sanusi tidak adil

MUHAMMAD SANISU MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkah Kerajaan Persekutuan yang didakwa mengetepikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada program anjuran kerajaan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23’) merupakan satu bentuk penganiayaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, ia tidak patut berlaku ketika mereka yang mengetengahkan konsep Malaysia Madani sendiri tidak mempraktiskan sepenuhnya perkara itu.

Malah, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, elemen pentadbiran dan pemerintahan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan juga tidak seharusnya dimasukkan elemen politik yang boleh menjejaskan kedua-dua entiti itu.

“Sekiranya benar berlaku, saya rasa tidak adil sebab LIMA’23 walaupun dibiayai Kerajaan Persekutuan, pameran itu dibuat dalam Kedah dan Pulau Langkawi yang merupakan jajahan negeri Kedah.

“Kalau Menteri Besar orang yang tertinggi dari segi pentadbiran Kedah sendiri tidak dibenar ambil bahagian, dihalang dan sebagainya ini sudah pasti penganiayaan kepada ketua kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA 23 yang berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata, rakyat sedang menilai tindak-tanduk yang dilakukan kerajaan dan sekiranya benar larangan dikenakan kepada Muhammad Sanusi itu, ia tidak akan menyenangkan rakyat yang sedang berhadapan pelbagai kepayahan terutama isu kos sara hidup.

“Kalau kita dengar Perdana Menteri menjelaskan mengenai pentadbiran Madani, kita boleh buat kesimpulan bahawa tafsirannya betul-betul memang baik, tidak ada salah guna kuasa, banteras bukan sahaja rasuah tetapi segala kejahatan yang berlaku,” katanya.

Ditanya sama ada larangan itu ada kaitan kebimbangan kerajaan menghadapi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, beliau berkata, fasa pilihan raya adalah proses yang tiada sempadan.

“Apabila datang pilihan raya, tidak ada sempadan, ia melibatkan parti-parti, PN parti seluruh Malaysia, Pakatan Harapan (PH) juga parti seluruh Malaysia. Tidak ada sempadan, contoh Pengerusi PN orang Johor tidak semestinya tak boleh berkempen di Kedah atau Pulau Pinang.

“Begitu juga PH, Perdana Menteri kawasannya di Tambun, ia tidak menegah beliau pergi berkempen sehingga ke Sabah dan Sarawak. Maka, dalam konteks Muhammad Sanusi dia juga berhak kerana bukannya beliau Menteri Besar Kedah mai ganggu pentadbiran Selangor, itu memang salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×