PM jamin pelajar universiti bebas bersuara - Utusan Malaysia

PM jamin pelajar universiti bebas bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelajar serta tenaga pengajar di universiti akan diberikan kebebasan bersuara walaupun Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak dihapuskan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berhubung menggugurkan sebarang peruntukan yang menyusahkan pelajar dan tenaga pengajar. 

“Kamu tahu asal usul AUKU? AUKU itu dilaksana oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menghalang Anwar masuk universiti. 

“Saya sudah bincang dengan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Khaled Nordin untuk pinda peruntukan yang menyekat kebebasan pelajar malah pensyarah-pensyarah juga,” jawabnya kepada soalan seorang pelajar universiti awam dalam program dialog anak muda Temu Anwar di sini, hari ini.

Program tersebut diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Turut menghadiri adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim. 

Dianggarkan lebih 8,000 anak muda menghadiri sesi dialog tersebut dan Anwar menerima hampir pelbagai soalan termasuk isu pengangkutan awam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan peluang pekerjaan Suruhanjaya  Perkhidmatan Awam (SPA) untuk anak muda.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971.

Beliau berkata, akta tersebut masih relevan terutama melibatkan urus tadbir universiti.

Khaled berkata, proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjur memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu lambakan permohonan SPA, Anwar berkata, pelantikan menerusi badan itu adalah terhad dan TVET merupakan antara jalan penyelesaian yang digalakkan oleh kerajaan. 

“SPA ini prosesnya adalah berdasarkan kekosongan bagi kementerian-kementerian itu. Itu adalah yang paling utama kita perlu faham. 

“Sekiranya pelantikan itu dibuat untuk menerima masuk semua permohonan anak muda, maka sistem itu akan membengkak. Ini sebabnya kita menggalakkan TVET untuk mencipta peluang pekerjaan untuk anak muda,” jelasnya.

Selain itu, berkenaan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Anwar mengulangi pendiriannya untuk tidak membenarkan pengeluaran kerana gusar dengan 70 peratus pemegang akaun mempunyai simpanan kurang RM10,000. 

Jelasnya, perkara ini dipolitikkan pihak pembangkang sedangkan usaha yang dilakukan ini adalah bagi memastikan rakyat boleh bersara dengan selesa di masa depan sementara ekonomi ketika ini semakin pulih. –utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya