Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang Jun

Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang Jun

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan anak kepada wanita rakyat tempatan yang lahir di luar negara mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini berikutan terdapat beberapa isu perlu dibincangkan lebih lanjut.

“Rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan dijangka dibentang pada sidang akan datang memandangkan masih terdapat beberapa isu perlu dibincangkan, terutama isu dua kewarganegaraan.

“Jawatankuasa Jemaah Menteri berhubung isu kewarganegaraan sudah dibentuk dan kini membincangkan isu melibatkan kewarganegaraan untuk persidangan akan datang,” katanya menerusi satu laporan portal.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warga negara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Azalina melalui satu kenyataan bersama.

Menurut Azalina lagi, proses pindaan undang-undang itu memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja berdasarkan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. 

“Kerajaan akan membawanya ke Majlis Raja-Raja selepas memuktamadkan penyelesaian dalam isu pelaksanaan,” katanya.

Azalina berkata, ia sekali gus bermakna Jawatankuasa Kabinet akan memuktamadkan isu berkaitan RUU itu, antaranya membabitkan bagaimana undang-undang kewarganegaraan yang dipinda akan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan kemudiannya dijangka membentangkan RUU yang dimuktamadkan kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan, sebelum dibawa ke Parlimen sebaik mendapat persetujuan.

RUU itu kemudiannya perlu diundi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta perlu menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, kemudian diwartakan untuk membolehkan berkuatkuasa sebagai undang-undang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.