Perlu kajian baiki semula Jalan Felda Selancar-Perwira Jaya - Utusan Malaysia

Perlu kajian baiki semula Jalan Felda Selancar-Perwira Jaya

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menyampaikan sumbangan banjir kepada mangsa di PPS SK Leban Chondong di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kajian perlu dilakukan bagi membaik pulih semula jalan utama Felda Selancar-Perwira Jaya di Muadzam Shah di sini yang runtuh ekoran arus deras disebabkan hujan lebat berterusan baru-baru ini.

Untuk itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang siap membina jambatan Bailey di situ.

Seri Paduka berharap semua pihak dapat menggunakan sebaik mungkin jambatan Bailey berkenaan dan kemudahan itu sedikit sebanyak memberi keselesaan buat sementara waktu ini.

“Dalam pada itu, saya berharap satu kajian dapat dibuat dan selepas keadaan mengizinkan, jalan terbabit dibina semula seperti sediakala.

“Ini kerana, jambatan Bailey akan menyekat kelancaran perjalanan kenderaan yang melalui jalan itu,” titah Seri Paduka ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 1 Mac lalu, lebih 4,000 penduduk di Felda Selancar dan Perwira Jaya terputus hubungan selepas jalan masuk ke kawasan itu runtuh dan terputus akibat air deras.

Ekoran kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninjau kawasan runtuhan dan mengumumkan Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan segera bagi membina jambatan Bailey di laluan utama ke Felda Selancar itu.

Jambatan Bailey di jalan utama Felda Selancar-Perwira Jaya itu dibuka secara satu lorong kepada semua jenis kenderaan ringan bermula semalam membabitkan had muatan 40 tan dengan had kelajuan 30 kilometer sejam sahaja.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan kejadian kehilangan nyawa akibat banjir dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan dugaan itu. 

“Saya doakan mangsa dapat ditemukan segera selain berharap operasi mencari mangsa dapat diteruskan,” titah Seri Paduka merujuk kejadian seorang wanita yang hilang selepas terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Aur, Bukit Ibam, di sini pada 3 Mac lalu.

Seri Paduka turut melawat tiga lagi PPS iaitu SK Tanjung Gemuk, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemuk dan PPS Sarang Tiong di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya