Perlu kaji semula harga padi

Perlu kaji semula harga padi

Malaysia perlu menghasilkan padi pada tahap sara diri bagi elak pergantungan bekalan dari negara lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta mengkaji semula harga padi yang ditetapkan ketika ini selepas didakwa tidak selari dengan dengan keadaan ekonomi semasa terutamanya peningkatan kos input pertanian.

Lebih mengecewakan, harga padi berjumlah RM1,200 bagi satu tan yang ditetapkan pada masa kini adalah kadar yang ditetapkan 10 tahun lepas dan tidak pernah disemak semula.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, (PeSAWAH), Mohd. Fuad Yaacob berkata, harga padi yang dikawal ketika ini sudah tidak setimpal dengan kenaikan kos input pertanian terutamanya baja dan racun.

Katanya, ini kerana kenaikan kos itu tidak dikawal, tetapi kadar harga padi ditetapkan pihak kerajaan.

“Harga padi yang berbaloi adalah pada kadar RM1,400 hingga RM1,500 bagi satu tan untuk tampung kenaikan kos input pertanian itu.

“Kadar RM1,200 itu dise­ragamkan sejak 2013 atau 2014 lepas…jika tidak silap semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan selepas itu harga tersebut tidak pernah disemak semula.

“Kita harap kerajaan boleh semak harga padi itu sebab harga padi dikawal oleh mereka, bukan pihak petani. Selain itu, kalau boleh kadar itu dapat disemak lima tahun sekali lagi bagus,” katanya ketika dihubungi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keluhan pesawah susulan peningkatan kos meng­usahakan tanaman padi terutama harga racun dan baja yang sering naik mengakibatkan segelintir pesawah memilih untuk menukar tanah mereka kepada tujuan lain yang lebih menguntungkan.

Malah, hasil padi yang tidak menentu juga menjadi antara punca kebanyakan pesawah menjual tanah sawah mereka.

Mohd. Fuad menambah, kadar harga padi perlu disemak semula bagi membolehkan masyarakat pesawah dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Malah, katanya, mana-mana pihak juga diminta untuk tidak menyalahkan petani sekiranya hasil padi susut susulan pelbagai masalah masih yang masih membelenggu masyarakat pesawah.

“Dengan kenaikan kos tidak terkawal, bagaimana kita mahu beri perkhidmatan terbaik. Kos input pertanian sebelum tuai dan apabila tuai dapat hasil, itu sahaja pendapatan sebenar pesawah.

“Infrastruktur juga masih lagi ketinggalan walaupun tidak semua kawasan. Sedangkan, infrastruktur kena cantik, ada kemudahan pengairan dan saliran.

“Tetapi sesetengah tempat, pengairan dan saliran masih tidak sempurna, macam mana mahu hasil yang tinggi.

“Semua itu tidak termasuk lagi serangan penyakit, cuaca hujan dan panas lagi. Jadi, ja­ngan salahkan petani malas atau tidak rajin, sebab masalah lain masih belum selesai,” katanya.

Kenaikan harga racun meningkat sejak 2020 tetapi boleh ditampung kerana kerajaan sebelum ini memberi bantuan subsidi percuma RM300 untuk sehektar padi. Bagaimanapun, bantuan tersebut menurun kepada RM200 untuk sehektar padi sekali gus memberi kesan kepada pesawah untuk menampung kenaikan kos berkenaan.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN