ARAU: Hasil pengeluaran padi di negeri ini yang direkodkan sebanyak 154,975,325 tan metrik semusim turut membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara.
Jumlah hasil tersebut merangkumi kawasan tanaman seluas 27,883,29 hektar melibatkan keseluruhan 17,930 pesawah di Perlis. Hasil tersebut direkodkan pada tahun 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, setiap hari sebanyak 5.1 tan metrik hasil pengeluaran padi di negeri ini direkodkan sekali gus mampu menampung keperluan rakyat.
Katanya, hasil kasar seorang pesawah pula dianggarkan 5.5 tan metrik bagi keluasan satu hektar dengan anggaran pendapatan pula lebih RM8,000 iaitu kira-kira RM1,500 bagi hasil satu tan metrik.
“Pengeluaran hasil padi di Perlis tidak menunjukkan penurunan ketara berbanding musim-musim sebelumnya.
“Kita tidak berdepan masalah khususnya melibatkan hasil pengeluaran padi setiap musim yang turut menyumbang kepada hasil beras atau padi negara,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi atau beras negara boleh merosot sehingga 70 peratus dalam tempoh tujuh atau 10 tahun akan datang disebabkan hasil para pesawah yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pesawah dikatakan hanya mampu menghasilkan sekitar dua tan metrik padi bagi keluasan satu hektar berbanding tempoh lima ke tujuh tahun lalu yang mencecah sehingga tujuh tan metrik bagi keluasan sama.
Menurut Razali, pesawah di Perlis juga tidak berdepan masalah pembekalan benih padi sah memandangkan sumbernya juga boleh didapati melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pembekal-pembekal luar.
“Kita juga giat menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan peningkatan hasil dari masa ke semasa dengan memberi penekanan kepada kawalan perosak dan penyakit tanaman padi.
“Di samping itu, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut memberi penekanan terhadap kempen pematuhan jadual tanaman padi bagi memastikan bekalannya mencukupi,” katanya. – UTUSAN










