SUNGAI PETANI: Cubaan tiga lelaki memperolehi hasil samun tidak berjaya apabila mereka kali ini tersalah memilih sasaran setelah bertindak menyamun seorang anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.15 malam tadi melibatkan mangsa yang merupakan anggota polis peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Zon Utara.
Katanya, mangsa berpangkat koperal yang berumur 38 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai tugas di Plaza Tol Gurun dan memandu berseorangan melalui jalan pintas Gurun-Jeniang berdekatan sebuah kilang motosikal.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa melihat seorang lelaki terbaring di tengah jalan dan memberhentikan kenderaannya dengan niat untuk membantu. Ketika mendekati lelaki terbabit, tiba-tiba dua lelaki lain muncul lalu menendang mangsa dari arah belakang.
“Anggota polis itu cuba melawan untuk mempertahankan dirinya sebelum berjaya menumbuk salah seorang suspek menyebabkan dua lagi suspek bertindak melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu ujar Zaidy, mangsa yang sebelum ini merupakan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda hanya cedera ringan akibat ditendang dan ditumbuk tiga lelaki terbabit.
“Mangsa tinggal di sebuah taman perumahan, di sini dan sudah berumah tangga. Ketika kejadian isterinya yang merupakan kakitangan kerajaan sedang berkursus di Kuala Lumpur.
“Mangsa membuat laporan polis pada pukul 10 pagi ini dan kita kini sedang menjejaki suspek yang merupakan penduduk tempatan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan samun,” katanya. –UTUSAN