Penubuhan Jawatankuasa Khas skandal 1MDB diteliti jika perlu

Penubuhan Jawatankuasa Khas skandal 1MDB diteliti jika perlu

FAHMI Fadzil dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi dan Digital, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh diteliti sekiranya ia merupakan satu mekanisme penting untuk mempercepatkan proses mengembalikan dana itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun, penubuhan jawatankuasa itu tidak diperlukan pada masa ini kerana proses untuk mendapatkan semula dana itu sedang berjalan dan ada beberapa perkara dikenal pasti segera dalam usaha mengembalikan wang rakyat.

Menurut beliau, proses itu boleh dilihat apabila kerajaan sudah pun berjaya mendapat persetujuan pengembalian lebih RM8.1 bilion daripada syarikat Internatio­nal Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS sekali gus merupakan satu kemenangan untuk rakyat.

“Setakat hari ini dalam mesyuarat Kabinet perkara itu belum dibincangkan secara khusus tetapi ia akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri.

“Semestinya kita nak lihat di mana lagi pihak-pihak yang terkait dengan isu 1MDB ini sekiranya perlu mereka mengembalikan wang tersebut dan jika mekanismenya untuk mempercepatkan proses itu kita perlu wujudkan satu jawatankuasa khas yang khusus, maka saya percaya akan diteliti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Fahmi memberitahu Utusan Malaysia tentang cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung skandal 1MDB membabitkan bank Goldman Sachs akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara tersebut.

Ia susulan gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani terhadap kerajaan suapaya meneliti kembali peranan peguam yang mewakili 1MDB kerana tidak memfailkan saman kepada bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya tertumpu kepada kepentingan politik semata-mata kerana tindakan perlu dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau percaya bantuan daripada bekas Menteri Kewangan itu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri bahawa beliau akan membantu dalam usaha melibatkan 1MDB, akan mempercepatkan proses mendapatkan dana semula.

“Kita tidak semestinya memerlukan satu jawatankuasa buat masa ini kerana proses itu sedang berjalan, ada beberapa perkara ambil maklum dan dalam kita kenal pasti segera berusaha mengembalikan wang rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya