Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM1.2 juta - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM1.2 juta

SEORANG pengarah syarikat, Choo Peng Hoong, 41,mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM1.2 juta. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pengarah syarikat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM1.2 juta.

Tertuduh, Choo Peng Hoong, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian memegang jawatan pengarah syarikat Choo Marketing Sdn. Bhd. didakwa memindahkan sejumlah wang dipercayai hasil aktiviti haram berjumlah RM1.2 juta daripada akaun bank syarikat ke sembilan akaun lain.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Berhad di Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry di sini, antara 11 Mac hingga 24 Mac 2020.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pertuduhan ditangguhkan seketika kerana tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous memohon tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, peguambela, Y. Anbananthan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh kini hanya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM3,500 sebulan.

Selain itu, katanya, tertuduh yang masih bujang juga perlu menanggung ibunya berusia 72 tahun yang menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM54,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 28 April depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya