Pendakwaan ada 14 hari untuk fail rayuan

Kes pinda laporan audit 1MDB: Pendakwaan ada 14 hari untuk fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Peguam Negara sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pasukannya perlu menghantar laporan terlebih dahulu kepada Peguam Negara sebelum mendapatkan arahan lanjut.

Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Kamal Baharin Omar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda daripada pertuduhan tersebut tanpa perlu dipanggil membela diri.

Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes tersebut.

Mengikut Seksyen 307 Kanun Prosedur Jenayah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah perlu memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan itu dibuat.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Sementara itu, salah sebuah kerusi di bahagian hadapan meja pendakwaan telah dibiarkan kosong sepanjang prosiding berjalan.

Difahamkan, kerusi tersebut dibiarkan kosong sebagai penghormatan kepada mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan kes itu sebelum ini.

Mendiang meninggal dunia pada 29 Januari lalu pada usia 79 tahun selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN