PETALING JAYA: Pencapaian aktres kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh yang muncul sebagai pelakon Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanita terbaik pada Anugerah Oscar 2023 perlu dijadikan inspirasi oleh penggiat seni di negara ini.
Pencapaian yang mendapat penghargaan daripada para pemimpin negara itu berdasarkan lakonan hebat beliau dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Michelle
Yeoh di Los Angeles, Amerika Syarikat, semalam.
Seri Paduka bertitah, pencapaian itu juga sekali lagi membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa Seri Paduka dalam kenyataan turut mengucapkan ucapan selamat maju jaya kepada Michelle dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, pencapaian Michelle tersebut sebagai amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati kelahiran Ipoh, Perak itu selepas menjadi pelakon pertama Asia Tenggara memenangi anugerah berprestij itu.
“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Filem lakonan Michelle itu turut mendominasi Oscars dengan menggondol tujuh anugerah termasuk pengarah terbaik, suntingan terbaik, pelakon pembantu terbaik dan lakon layar terbaik.
Sementara itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kejayaan Michelle tersebut membuktikan anak Malaysia berbakat besar.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menzahirkan penghargaan terhadap pelakon kelahiran Ipoh berkenaan kerana menjadi kebanggaan negara. – UTUSAN










