Pemandu 'prime mover' maut jentera dihempap kontena - Utusan Malaysia

Pemandu ‘prime mover’ maut jentera dihempap kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pemandu ‘prime mover’ (lori terminal) maut akibat tersepit di dalam kabin pemandu selepas kenderaan itu dihempap sebuah kontena dalam kejadian di Pelabuhan Pulau Pinang, di sini pukul 10.13 pagi ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kejadian itu melibatkan seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 41 tahun.

Jelasnya, sepasukan pegawai penyiasat JKPP Pulau Pinang telah diarahkan ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Daripada siasatan awal yang dijalankan, ujar beliau, mangsa merupakan pemandu ‘prime mover’ salah sebuah syarikat pembekal jentera ‘prime mover’ di terminal kontena tersebut.

“Mangsa dikatakan telah membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal.

“Kepala mangsa didapati tersepit di dalam kabin pemandu ‘prime mover’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan satu Notis Larangan bagi aktiviti kerja pengendalian jentera ‘prime mover’ dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat JKKP Pulau Pinang.

Tegasnya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

Tambah beliau, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya