SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa tidak terus merobohkan gerai-gerai milik penjaja tidak berlesen sebaliknya mereka perlu berunding atau mengeluarkan notis awal terlebih dahulu.
Namun, dalam masa sama penjaja juga perlu menghormati makluman daripada PBT sekiranya menerima sebarang notis berpindah supaya tidak menimbulkan kekacauan atau buruk sangka antara peniaga dengan pihak berkuasa dalam masyarakat.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Selangor, Hanim Mohd. Said, biasanya tindakan perobohan gerai atau premis diambil kerana PBT menerima aduan daripada orang awam ekoran berlaku kesesakan dan membahayakan orang awam.
“Sepanjang pengalaman berniaga, jarang PBT terus mengambil tindakan kecuali ada orang mengadu kerana masalah sedemikian.
“Tetapi, lebih baik peniaga dapatkan lesen dan PBT juga boleh membantu seperti mengenal pasti tempat-tempat yang boleh berniaga. Cuma kalau diberi notis oleh PBT kena faham tempat itu mungkin tidak sesuai untuk berniaga,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PPPKM Selangor mempunyai lebih 4,000 peniaga berdaftar dan mewajibkan kesemua ahlinya mendapatkan lesen perniagaan daripada PBT supaya dapat dibantu.
“Sehingga hari ini, kita tidak mendengar masalah dalam kalangan ahli berdepan dengan masalah malah kita juga bekerjasama dengan PBT menasihatkan peniaga atau penjaja baharu supaya mendapatkan lesen.
“Cuma tidak dinafikan ramai peniaga atau penjaja tidak mempunyai lesen, tetapi dinasihatkan supaya tidak menimbulkan masalah seperti mengganggu lalu lintas, membahayakan pelanggan dan sebagainya untuk mengelak daripada berdepan aduan orang ramai kepada PBT,” katanya. – UTUSAN










