LIPIS: Naib Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan ahli dan pemimpin parti itu supaya patuh dan setia kepada “Kapten’ demi mengembalikan martabat parti terbesar orang Melayu tersebut.
Tegasnya, institusi Presiden dan keputusan Majlis Tertinggi perlu disokong dan diikut bagi mengelakkan percanggahan pendapat yang merugikan parti.
Menurutnya, trend berpuak-puak dalam UMNO perlu dihentikan segera kerana misi parti lebih besar untuk mengembalikannya menjadi parti dominan dalam politik arus perdana.
“Saya bertekad untuk membantu membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat itu kembali bangkit dan kekal relevan,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Kerja Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di sini semalam.
Menteri Besar Pahang itu juga yakin, berbekalkan pengalaman mentadbir kerajaan dan parti, beliau bersama barisan kepimpinan parti akan mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Beliau berkata, kejayaan memenangi jawatan ketiga tertinggi parti itu juga merupakan satu tanggungjawab besar untuk membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan seluruh kepimpinan terutamanya dalam keadaan parti yang cukup getir ketika ini.
“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini,’’ katanya
Beliau mengingatkan kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu sangat perit sekali gus menuntut seluruh ahli untuk merapatkan semula saf perjuangan, memperkukuh kembali persaudaraan dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat.
Wan Rosdy berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air. – UTUSAN










