Pastikan taikun perniagaan besar tidak terlepas bayar cukai - PM

Pastikan taikun perniagaan besar tidak terlepas bayar cukai – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap sempena sambutan Hari Hasil di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memastikan setiap tokoh konglomerat dan taikun perniagaan besar membayar cukai tanpa ada peluang untuk mereka mengelak berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata, peringatan sama pernah disuarakan ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1990an lalu untuk memastikan setiap orang wajib membayar cukai tanpa dikecualikan sesiapa pun termasuk 10 orang jutawan terkemuka negara yang didapati enggan atau tidak membayar sepenuhnya cukai.

“Saya masih ingat ketika saya melawat Jabatan Hasil Dalam Negeri (sebelum diangkat menjadi Lembaga yang merupakan keputusan beliau), kakitangan memaklumkan masalah paling sukar mereka hadapi ialah tokoh-tokoh besar termasuk orang kenamaan enggan bayar cukai.

“Saya kata agak aneh apabila sebuah nergara merdeka berdaulat yang mempunyai peraturan, tetapi golongan mahakaya enggan bayar cukai.

“Jadi saya keluarkan kenyataan memberi peringatan bahawa saya di sebelah pegawai-pegawai jabatan ini akan memastikan setiap orang wajib bayar cukai tanpa kecuali. Ini merupakan satu kenyataan menggemparkan dan begitu sukar sebagai seorang tokoh politik boleh menyergah tokoh syarikat gergasi yang mempunyai dana besar,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Hasil di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau bagaimanapun berpuas hati dapat mengeluarkan kenyataan berunsur peringatan pada ketika itu kerana prestasi LHDN selepas itu jauh lebih baik, malah mereka yang enggan membayar cukai sebahagian besarnya sudah pun mematuhi peraturan.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah orang awam, pegawai kerajaan atau golongan peniaga kecil membayar cukai sepenuhnya, tetapi orang-orang yang memperoleh manfaat besar cuba pelbagai helah membawa dana ke luar negara mencecah berbilon ringgit jika mengambil kira puluhan tahun.

“Saya nyatakan pandangan terbuka di Parlimen dan di luar Parlimen dan melihat beberapa rekod pengaliran dana keluar, dana haram dari rasuah, perniagaan haram lain untuk mengelak bayar cukai, tapi pada masa itu saya tidak lihat tindakan berkesan.

“Namun, laporan itu mungkin tak semestinya benar, tapi saya menuntut kajian bagaimana boleh ia melepasi (dana keluar negara) yang kebetulan mereka itu orang besar dan mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau meminta badan penguat kuasa membuat siasatan dan bukannya menghukum termasuk menyiasat serta menggeledah mengapa seorang bekas Menteri Kewangan menggondol kekayaan ratusan bilion dan boleh terlepas semua siasatan.

“Selagi saya diamanah memimpin kerajaan ini, saya mahu rakyat sama ada kecil atau mahakaya tunduk kepada hukum dan tidak terlepas membayar cukai.

“Menjadi tanggungjawab LHDN memastikan orang atasan (bayar cukai) dan kalau laksanakan ini saya percaya hasil negara kita akan terus meningkat dan prestasi lebih baik daripada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya