Pastikan anak OKU dapat pendidikan sewajarnya

Pastikan anak OKU dapat pendidikan sewajarnya

MALAYSIA sudah pun mempunyai akta dan polisi mahupun pelan yang baik untuk golongan OKU namun implementasinya lemah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Implementa­si yang lemah dalam pendidikan tidak sewajarnya diterima oleh anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) menyebabkan seolah-olah golongan istimewa itu di­nafikan hak mereka.

Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, Malaysia sudah pun mempunyai akta dan polisi mahupun pelan yang baik untuk golongan OKU namun implementasinya lemah.

Menurut beliau, satu meka­nisme di dalam pelbagai pe­ringkat perlu dilakukan segera kerana kesan negatif akibat kurangnya pendedahan pendidikan kepada kumpulan istimewa tersebut akan dirasai pada jangka masa panjang dan mampu memberi tekanan kepada kerajaan.

“Apabila Kementerian Pendidikan (KPM) gagal memastikan anak-anak OKU termasuk Sindrom Down mendapat pendidikan sewajarnya, kita akan nampak kesan pada 30 tahun akan datang, sekarang memang tak nampak.

“Ini apabila ibu bapa mereka sudah tiada untuk menjaga anak-anak istimewa itu, masa itu sistem kebajikan negara akan menjadi terbeban. Adakah kita nak salurkan duit untuk membina rumah-rumah kebajikan bagi menjaga anak-anak yang tak mampu berdikari dan menjadi produktif

“Kita perlu selesaikan perkara ini demi anak-anak keperluan khas, jika mereka mempunyai pendidikan mereka boleh beker­ja atau berdikari sehingga tidak perlu masuk ke rumah kebajikan. Itu sepatutnya kita sasarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, kira-kira 40,000 kanak-kanak sindrom down di negara ini tidak mendapat pendidikan khusus menyebabkan ramai dalam kalangan anak istimewa itu mengalami kemurungan.

Malah, senario sama turut dialami sekian lama oleh go­longan ibu bapa dalam usaha mendapatkan sistem pembelajaran yang bersesuaian dengan kemampuan golongan Sindrom Down mahupun OKU lain.

Hasnah yang Pakar Bidang Pen­didikan Khas berkata, sistem pendidikan negara tidak mem­punyai hala tuju yang jelas untuk pelajar-pelajar OKU yang tamat persekolahan.

“Apa yang saya dengar adalah majoriti pelajar daripada golongan tersebut tidak mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan. Jadi, kita perlu wujudkan ia,” katanya.

Tambahnya, terdapat ibu bapa yang resah mengenai adakah anak-anak istimewa mereka menerima pendidikan sewajarnya oleh pihak sekolah.

“Apabila saya buat kajian, bercakap dengan ibu bapa. Mereka menyatakan perasaan takut disenarai hitam oleh pihak sekolah. Seharusnya wujudkan satu platform di mana ibu bapa dapat menyuarakan kegusaran tanpa membimbang sebarang backlash daripada pihak sekolah atau guru.

“Ini bukan nak menyaman, membuat aduan dan sebagainya tetapi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang terdapat di dalam pendidikan khas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN