(PARLIMEN) Teliti model negara luar tubuh Ombudsman

(PARLIMEN) Teliti model negara luar tubuh Ombudsman Malaysia beri kuasa menyiasat – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula model dan undang-undang Ombudsman negara lain dalam usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara model negara luar yang terlibat seperti United Kingdom, New Zealand, Sweden, Australia, Hong Kong, Filipina, Thailand, Gambia dan Namibia.

“RUU Ombudsman Malaysia juga dicadang untuk memperuntukkan obligasi mandatori supaya laporan tahunannya dibentang dan dibahas dalam Parlimen.

“Kerajaan akan mempertimbang semula beberapa perkara melalui pembentangan rang undang-undang Ombudsman Malaysia supaya agensi Ombudsman Malaysia diberi kuasa menyiasat.

“Perkara yang akan dipertimbang itu termasuklah berkaitan dasar baharu.

“Selain itu, kerajaan juga akan meneliti undang-undang institusi agensi kerajaan Malaysia khususnya berkenaan kuasa siasatan dan tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan untuk mewujudkan sistem Ombudsman bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

Pada 2021 lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Perdana Menteri memaklumkan penyediaan draf rang undang-undang itu kini di fasa akhir dan dijangka dibentang di Parlimen pada 2022.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan sebelum ini bersetuju dengan cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia, tanpa memperuntukkan apa-apa kuasa berkaitan penyiasatan dalam mengendalikan aduan berhubung salah tadbir.

Katanya, keadaan itu menyebabkan cabaran sedia ada tidak dapat ditangani sepenuhnya, malah tidak membawa perubahan yang ketara dalam pengendalian aduan berkenaan.

“Namun Kerajaan Perpaduan komited dan berpegang kepada prinsip asas bahawa Ombudsman adalah satu badan bebas yang wajar mengamalkan konsep tidak memihak.

“Konsep tidak memihak itu adalah dalam menyiasat apa-apa aduan yang disalurkan oleh orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan prosedur yang teratur dari segi undang-undang, sistematik, cepat dan telus,” katanya.

Kata Azalina, penubuhan Ombudsman Malaysia yang berfungsi dan berkuasa adalah amat penting bagi memastikan pentadbiran awam cekap dan berkesan serta tadbir urus yang lebih baik dalam perkhidmatan awam.

Jelasnya, sehingga kini Biro Pengaduan Awam (BPA) adalah agensi utama di Malaysia yang menguruskan aduan berhubung salah tadbir dalam perkhidmatan awam berdasarkan kepada Pekeliling Am Bilangan Dua Tahun 2022.

Katanya lagi, BPA membabitkan hanya 178 kekuatan jentera pentadbiran bagi menangani aduan perkhidmatan awam.

“Terdapat banyak cabaran dalam proses pengendalian aduan awam yang sedia ada melalui BPA antaranya tiada perundangan yang khusus dengan kuasa tertentu termasuk menyiasat sesuatu aduan dan agensi awam tidak ambil tindakan atau lambat mengambil tindakan terhadap aduan yang dikemukakan.

“Selain itu, berlaku tindakan yang tidak adil oleh agensi awam terhadap aduan dikemukakan, pemantauan aduan terhadap agensi awam yang longgar dan tiada cengkaman kuasa BPA ke atas agensi awam dalam menyelesaikan aduan yang dikemukakan,” katanya. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.