Parlimen: Kerajaan tidak akan berhutang lebihi tahap defisit negara  - Utusan Malaysia

Parlimen: Kerajaan tidak akan berhutang lebihi tahap defisit negara 

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengambil hutang dalam skala tinggi sehingga melepasi tahap defisit negara semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan popular dalam kalangan rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan bersedia untuk terus berbelanja besar namun ia akan dilakukan secara berhemah.

“Kerajaan akan terus berbelanja besar, tetapi kita tidak akan berbuat demikian semata-mata untuk dapat sokongan rakyat dengan mengambil hutang besar supaya Perdana Menteri nampak popular sehingga melepasi tahap defisit yang dikira dalam keadaan berbahaya.

“Jadi, tidak timbul soal kerajaan tidak berbelanja tetapi yang penting ialah kerajaan berbelanja secara berhemah dan dapat nilai terbaik bukannya berbelanja melalui hutang secara buta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) jika kerajaan mempunyai naratif supaya jangan berhutang, sedangkan sepatutnya pentadbiran perlu berbelanja bagi meningkatkan hasil negara melalui kitaran ekonomi.

Kata Rafizi, kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kebajikan kumpulan rentan dan memulihkan ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa mengambil tindakan berhutang dan menambah beban seperti diamalkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil hutang RM200 bilion hingga RM300 bilion dalam suasana kadar faedah antarabangsa lebih tinggi kerana ia akan menyebabkan pentadbiran dan generasi akan datang terpaksa mewarisi bayaran tinggi.

“Ia berkait dengan hutang akan datang yang kita ambil, jika tersasar daripada sasaran defisit yang kita ada, maknanya penarafan hutang kita lebih tinggi, maka setiap kali jika ada pentadbiran baharu yang mengambil pendekatan berhutang tanpa menjaga penarafan defisit, ia menyebabkan jumlah faedah perlu dibayar adalah berganda.

“Jika sekarang RM40 bilion, lima tahun lagi jadi RM60 bilion, adakah lebih baik untuk kita bayar hutang melalui bunga faedah sampai RM50 hingga RM60 bilion sedangkan wang itu kalau dibelanja secara berhemah dan dikawal hutangnya boleh membantu terus golongan rentan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) jika kerajaan akan membuat langkah segera seperti pelancaran pakej rangsangan bersasar yang pernah dilaksanakan pentadbiran PN sebelum ini, katanya, data menunjukkan semua sektor sudah pulih kecuali pertanian.

Berdasarkan unjuran dan prestasi ekonomi sekarang, katanya, negara tidak menjadi lebih teruk berbanding ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Kalau melihat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), semua sektor sudah pulih kecuali pertanian saja, jadi bagaimana Pagoh boleh kata tahun ini lebih teruk dari sebelum ini, sedangkan data ekonomi yang ada tidak menyokong apa yang disebut itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya