KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan digesa untuk membuat laporan polis sekiranya benar terdapat seorang individu yang menyamar sebagai dirinya menghubungi Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Bercakap kepada media, Ka Siong berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu ini.
“Saya telah pun mengambil tangkap layar rekod panggilan tersebut, panggilan pertama berdurasi 33 saat dan panggilan kedua pula selama tujuh minit.
“Nombor yang menghubungi saya itu adalah 019-9999989. Berdasarkan gambarnya dalam aplikasi Whatsapp, sebelum didedahkan di Dewan Rakyat, gambarnya berbeza dan selepas itu ditukar menjadi gambar pengasas Tesla.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang telah mengeluarkan kenyataan untuk menegaskan mana-mana pihak tidak boleh menyalahguna jabatan itu,” katanya di lobi Parlimen.
Menurut Ka Siong, beliau menggunakan aplikasi Truecaller yang membolehkannya untuk mengenalpasti pemanggil sebelum menjawab sebarang panggilan.
Semalam di Dewan Rakyat, Ka Siong memberitahu beliau menerima panggilan daripada individu bernama ‘Deepak’ yang kononnya mahu menyelesaikan isu tentang kemasukan telur import dari India tanpa mengheret Presiden MCA itu ke mahkamah.
Setelah perkara itu didedahkan, Deepak Jaikishan menafikan beliau adalah individu yang didakwa membuat ugutan terhadap Ka Siong berhubung isu bekalan telur import.
Deepak memaklumkan beliau tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun. – UTUSAN










